Polis Terengganu bersedia memindahkan kira-kira 2,000 penduduk jika kebakaran tangki simpanan minyak mentah milik Kemaman Bitumen Company (KBC) semakin melarat.

Ketua Polis Terengganu Datuk Aidi Ismail berkata, pemindahan itu akan membabitkan penduduk Kampung Bukit Kuang, Kampung Teluk Kalung dan Kijal.

Bagaimanapun, menurutnya, proses pemindahan itu bergantung kepada indeks kualiti udara yang dikeluarkan Jabatan Alam Sekitar dari semasa ke semasa.

"Kita sudah berhubung dengan ketua-ketua kampung, minta mereka meninggalkan rumah sekiranya berlaku, atau kita dapati, situasi lebih buruk, kita akan maklumkan.

"Dari segi pemindahan mereka, kita akan bincang dengan pihak kerajaan negeri dan sebagainya untuk tujuan ini," kata Aidi.

Sementara itu, tinjauan Astro AWANI di lokasi kebakaran mendapati, usaha pemadaman masih giat dilaksanakan pihak bomba.

Difahamkan, buat masa ini, kebakaran itu tidak mendatangkan kemudaratan kepada kawasan perumahan dan perniagaan berhampiran.

Semalam, tiga buah tangki simpanan dengan lebih 20,000 liter padu minyak mentah milik KBC musnah dalam kebakaran di Kawasan Perindustrian Teluk Kalong, di sini.

BACA: Bapa mangsa kebakaran KBC sebak lihat keadaan anak

BACA: Kebakaran di KBC dijangka padam dalam 48 jam


Kebakaran yang bermula jam 6.15 petang Khamis mengakibatkan sebahagian besar kawasan kilang diliputi asap hitam.

Insiden itu juga turut mencederakan seorang mangsa.

Dalam pada itu, Aidi turut meminta orang ramai agar tidak menghampiri kawasan kemalangan untuk menyaksikan secara dekat dan merakam gambar.

Jelasnya, amaran itu bagi menggelakkan sebarang insiden yang tidak diingini berlaku di sepanjang kawasan operasi tersebut.