Keadaan di Plaza Low Yat yang tegang pada malam Ahad dan awal pagi tadi dilaporkan tenang bagai tiada apa-apa yang berlaku sehingga pukul 9 pagi tadi.

Wartawan Astro AWANI, Hilal Azmi yang membuat tinjauan ke kawasan terbabit mendapati keadaan terkawal dan pusat membeli belah masih belum dibuka.

Orang ramai dilihat melakukan urusan harian seperti biasa.

Cuma kelihatan rondaan oleh anggota polis selang beberapa minit di kawasan terbabit.

Pondok polis sementara juga kelihatan ditempatkan berhadapan Plaza Low Yat.

Tiada juga jalan ditutup.




BACA: Tiga cedera rusuhan dekat Plaza Low Yat

Dalam kejadian malam Ahad, sekurang-kurangnya tiga orang cedera termasuk seorang wartawan manakala empat individu ditahan susulan kejadian rusuhan berhampiran Plaza Low Yat, Kuala Lumpur.

BACA: Jangan kaitkan dengan isu perkauman - Polis

Keadaan mula menjadi tegang selepas tujuh lelaki didakwa mengamuk di Plaza Low Yat bermula Sabtu apabila seorang rakan mereka didakwa ditipu penjual telefon bimbit di pusat beli belah tersebut.

BACA: Keadaan di Low Yat terkawal - Khalid

Video pergaduhan terbabit pantas mendapat perhatian pengguna media sosial.