Semua ketua polis di seluruh negeri akan diminta untuk menangani kewujudan kedai judi haram di kawasan masing-masing.

Timbalan Perdana Menteri, Datuk Seri Dr Ahmad Zahid Hamidi berkata, operasi yang dilakukan sebelum ini dilihat hanya berjaya dalam masa singkat.

"Judi merupakan sesuatu yang boleh merosakkan remaja serta institusi keluarga secara keseluruhan.

"Mana-mana pegawai polis, individu atau NGO yang memberi perlindungan kepada rumah rumah judi ini tidak terlepas daripada tindakan KDN," katanya semasa berucap pada Majlis Aidilfitri anjuran Persatuan Penduduk dan Perumahan Polis Taman Desa Tasik di sini.

Katanya, tidak ada satu agama di dunia yang membenarkan judi selain tiada rasional pelaku melakukan tindakan berkenaan.

Sebelum ini Menteri Kesejahteraan Bandar, Perumahan dan Kerajaan Tempatan Datuk Abdul Rahman Dahlan dilaporkan berkata, pihaknya tidak mempunyai kuasa untuk mengeluarkan arahan kepada pihak berkuasa tempatan (PBT) dalam menangani kegiatan judi haram.

Bagaimanapun, katanya, arahan tersebut boleh dikeluarkan oleh kerajaan negeri memandangkan PBT terletak di bawah bidang kuasa mereka.

Katanya, kementerian hanya boleh menasihati dan memberi garis panduan kepada PBT untuk mengekang aktiviti tidak bermoral tersebut.