KOTA BHARU: Kelantan Darul Naim FC (KDN FC) menerima tajaan bernilai RM200,000 daripada syarikat dari Jepun, ROHM Electronics Sdn Bhd bagi menghadapi saingan Liga Super 2024/2025.

Presiden KDN FC Rozi Muhamad berkata perjanjian yang telah dimeterai itu merupakan kesinambungan dari musim-musim sebelum ini yang telah terjalin antara kedua pihak.

"Musim lepas pihak ROHM Electronics bersama kami (KDN FC) memberi penekanan kepada program akar umbi hingga berjaya menghantar satu skuad bawah 16 tahun menyertai perlawanan persahabatan antarabangsa bersama tiga akademi bola sepak di Kasaoka, Jepun.

"Saya berharap pencapaian dan keberkesanan penajaan antara KDN FC serta syarikat ini sejak beberapa musim sebelum ini akan berterusan untuk jangka masa panjang," katanya dalam kenyataan hari ini.

Rozi berkata KDN FC berbesar hati kerana ROHM Electronics sudi untuk meneruskan penajaan pada musim ini.

"Saya menyatakan penghargaan kepada mereka kerana terus mempercayai jenama KDN FC sekali gus berharap kerjasama ini akan memberi kejayaan seperti yang telah dirancangkan seiring dengan kemahuan oleh semua pihak," katanya.

-- BERNAMA