NILAI: Kementerian Dalam Negeri (KDN) telah membuka penempatan sementara iaitu Baitul Mahabbah bagi kanak-kanak warga asing yang sebelum ini ditempatkan di depot imigresen, kata Menterinya Datuk Seri Saifuddin Nasution Ismail.

Beliau berkata Jabatan Imigresen Malaysia (JIM) akan menempatkan kanak-kanak berumur kurang 10 tahun di penempatan berkenaan, dan sebagai permulaan terdapat 23 kanak-kanak warga asing serta 10 penjaga terdiri daripada ibu kanak-kanak itu berada di pusat itu.

Katanya warga asing terlibat dalam inisiatif ini terdiri daripada kanak-kanak dan ibu kanak-kanak dari Depot Imigresen Bukit Jalil, Depot Imigresen Semenyih, Depot Imigresen KLIA dan Depot Imigresen Eco Millennium Beranang.

"Pada 22 Ogos lepas, KDN mengenal pasti premis ini untuk menempatkan kumpulan pertama iaitu 80 kanak-kanak... untuk rekod, terdapat 1,382 tahanan kanak-kanak berusia 18 tahun ke bawah dalam kategori dengan penjaga dan tanpa penjaga.

"Jumlah ini menjadi sasaran, agar kanak-kanak ini diberikan tempat perlindungan yang lebih ada ihsan dan manusiawi," katanya kepada pemberita selepas merasmikan Baitul Mahabbah di Premis Tadika Kompleks Kediaman Kakitangan Awam (KKKA), Lapangan Terbang Antarabangsa Kuala Lumpur (KLIA) di sini hari ini.

Saifuddin berkata kanak-kanak yang ditempatkan itu akan berada di premis berkenaan sehingga urusan dokumentasi mereka selesai dan dihantar pulang ke negara asal.

Katanya pemindahan kanak-kanak dari depot imigresen itu adalah atas dasar kemanusiaan, selaras dengan komitmen kerajaan dalam melindungi hak kanak-kanak tanpa mengira status seperti yang dinyatakan dalam Akta Kanak-kanak 2001 (Akta 611) dan Konvensyen Mengenai Hak Kanak-kanak (CRC).

Beliau berkata 28 pegawai imigresen dibantu 22 anggota RELA, Penolong Pegawai Perubatan dari Kementerian Kesihatan (KKM) akan bertugas secara syif di pusat jagaan itu.

"Antara kemudahan yang disediakan di pusat jagaan ini ialah ruang pembelajaran, bilik pemeriksaan kesihatan dan rawatan serta taman permainan kanak-kanak," katanya.

Beliau berkata beberapa badan bukan kerajaan (NGO) turut berkerjasama memberikan sumbangan barangan keperluan asas seperti lampin pakai buang, pakaian, susu dan makanan.

-- BERNAMA