Kementerian Dalam Negeri (KDN) mengambil perhatian terhadap beberapa keperluan peruntukan Jabatan Penjara Negeri Sabah dalam usaha meningkatkan keselamatan dan kecekapan operasi jabatan itu yang kini menampung kira-kira 7,800 banduan.

Timbalan Menterinya Datuk Azis Jamman berkata jabatan itu memerlukan peruntukan secukupnya bagi menampung kapasiti banduan yang ramai dengan kos makanan bagi banduan dianggarkan menelan perbelanjaan RM9.5 juta sebulan.

"Jabatan penjara Sabah sepatutnya menampung kira-kira 5,000 banduan, tetapi sekarang (jumlah banduan) sudah lebih 7,000 dan ini bermakna penjara Sabah menampung lebihan kapasiti seramai 2,000 banduan. Kos makan bagi setiap banduan adalah RM35 hingga RM41 sehari.

"Perkara (lebihan kapasiti banduan) ini harus diberi perhatian di peringkat kementerian dan kerajaan," katanya ketika ditemui pemberita selepas melawat Kompleks Penjara Kota Kinabalu di sini, pada Sabtu.

Azis berkata meskipun kerajaan berdepan dengan kekangan kewangan dan perlu melakukan penjimatan ketika ini, namun, perkara membabitkan keselamatan tidak boleh dikompromi, apatah lagi, jabatan penjara Sabah mengalami kekurangan kakitangan selain peralatan persenjataan tidak mencukupi.

Beliau berkata kementeriannya juga berharap projek pembinaan sebuah penjara di Lahad Datu yang mencatat kemajuan kerja tiga peratus ketika ini akan diteruskan sebagai usaha menyelesaikan masalah kesesakan di penjara pada masa akan datang.

Dalam perkembangan berkaitan, Azis berkata kuarters kediaman kakitangan jabatan penjara Sabah juga perlu dinaik taraf demi keselesaan mereka.

Azis berkata beliau juga akan membawa isu bantuan insentif khas kakitangan penjara ke perhatian kementerian untuk diteliti dan dipertimbangkan sama ada perlu diseragamkan dengan jumlah bantuan insentif khas seperti diterima badan beruniform lain.

"Saya difahamkan bantuan insentif khas bagi anggota polis dan bomba ialah RM200 sebulan manakala kakitangan penjara RM150 sebulan," katanya.

Ketika ini ada 15,700 pegawai penjara di seluruh negara, dan 1,800 daripadanya adalah pegawai penjara yang berkhidmat di Sabah.

-- BERNAMA