KAJANG: Kementerian Dalam Negeri (KDN) akan membentangkan kertas kerja kepada Jemaah Menteri dalam masa terdekat, mengenai usaha kerajaan untuk membawa keluar kanak-kanak dari depot tahanan imigresen.

Menterinya Datuk Seri Saifuddin Nasution Ismail berkata kini KDN dalam peringkat akhir mengumpul data-data mengenai jumlah, umur dan keberadaan kanak-kanak di depot tahanan seluruh negara.

Beliau berkata dalam melengkapkan kertas kerja berkenaan, KDN telah melakukan beberapa libat urus dengan pihak berkepentingan dan pakar antaranya Pengasas MERCY Malaysia Tan Sri Dr Jemilah Mahmood dan bekas Menteri Dalam Negeri Tan Sri Syed Hamid Albar.

"Buat masa ini terdapat seramai 1,030 kanak-kanak di 20 depot tahanan imigresen melibatkan 579 kanak-kanak lelaki dan 451 kanak-kanak perempuan.

"Daripada jumlah berkenaan, 351 mendiami depot tahanan bersama penjaga manakala 679 lagi tanpa penjaga," katanya dalam sidang media di program singgah sahur di Depot Tahanan Imigresen Semenyih, di sini awal pagi ini.

Saifuddin berkata KDN sentiasa berusaha untuk menjaga kebajikan kanak-kanak yang berada di depot tahanan imigresen dengan memastikan mereka mendapat akses kesihatan dan menerima rawatan sewajarnya sekiranya sakit, selain memberi akses pendidikan.

"Setakat ini, terdapat lima depot tahanan imigresen yang menyediakan kelas bagi kanak-kanak ini antaranya di sini (Depot Tahanan Imigresen Semenyih), Depot Tahanan Imigresen Bukit Jalil, Depot Tahanan Imigresen Pekan Nenas di Johor dan Depot Tahanan Imigresen Belantik di Kedah," katanya.

Beliau berkata kelas berkenaan dikendalikan oleh kakitangan depot tahanan imigresen berkenaan secara sukarela.

Sementara itu, Saifuddin berkata sejak Januari sehingga 12 April lepas seramai 14,139 pendatang tanpa izin telah dihantar pulang ke negara masing-masing melibatkan seramai 10,625 lelaki dewasa, 2,907 perempuan dewasa, 364 kanak-kanak lelaki dan 243 kanak-kanak perempuan.

"Pengusiran tertinggi merupakan 5,571 warga Indonesia, Myammar (3,285) dan Filipina (2,203)," katanya.



SAIFUDDIN-KERTAS KERJA 3 (AKHIR) KAJANG



Mengulas lanjut, beliau berkata tempoh seseorang ditahan di depot tahanan imigresen sebelum dihantar pulang adalah bergantung kepada seberapa segera dokumentasi dapat disiapkan oleh negara asal.

"Setakat ini, Indonesia merupakan negara yang paling cepat menyediakan dokumentasi untuk warganya yang ditahan di sini, oleh itu kita dapat lihat warganya paling ramai dihantar pulang," katanya.

Turut hadir Ketua Pengarah Jabatan Imigresen Datuk Ruslin Jusoh.

-- BERNAMA