Ringkasan AI
- Kawasan sekitar apartmen tempat keluarga Zayn Rayyan Abdul Matiin tinggal di Damansara Damai kelihatan tenang pada Selasa tanpa kehadiran anggota polis yang berkawal secara ketara.
- Penduduk tempatan menjalani kehidupan harian mereka dengan biasa, dengan pelajar sekolah masuk dan keluar bangunan seperti hari biasa. Kawasan tersebut kebiasaannya sunyi, hanya menjadi sibuk pada hujung minggu dan cuti sekolah.
- Penduduk yang tinggal di situ menyatakan bahawa kejadian pembunuhan Zayn Rayyan mengejutkan mereka. Kawasan itu kini menjadi tumpuan media setelah ibu mangsa dibawa oleh polis untuk melakonkan semula kejadian pada Isnin lalu.
Tinjauan Astro AWANI sejak 9 pagi di lokasi tersebut mendapati, hanya sekali kenderaan polis memasuki kawasan itu kira-kira jam 10.30 pagi tadi.
Begitupun, difahamkan ia adalah rondaan biasa dan bukan berkaitan kes pembunuhan Zayn Rayyan.
Penduduk dilihat sibuk menjalani kehidupan seharian dengan pelajar sekolah silih berganti masuk dan keluar ke bangunan berkenaan, kerana pergi dan pulang dari sekolah.
Kawasan tersebut juga agak sunyi dan menurut penduduk tempatan, begitulah keadaannya saban hari, hanya riuh-rendah ketika hujung minggu dan cuti sekolah.
Seorang penduduk yang enggan namanya disiarkan berkata, sejak dari dahulu begitulah keadaannya di sana dan kes menimpa Zayn Rayyan benar-benar mengejutkan mereka.
Dia yang lebih lima tahun menetap di situ memaklumkan, tiada kes jenayah besar di Blok R sepanjang dia menetap di situ sehinggalah kes melibatkan kanak-kanak berusia enam tahun tersebut.
“Kadangkala bila baca komen-komen dalam media sosial, rasa hairan juga. Macam mereka lebih tahu apa yang jadi di sini walaupun tak duduk di sini.
“Kalau boleh, bila tak tahu, tak perlulah komen macam-macam. Kami di sini pun diam saja, jalani kehidupan seperti biasa tapi yang luar pula ada banyak cerita,” katanya.
Kawasan perumahan itu kembali menjadi tumpuan media selepas ibu kepada Zayn Rayyan dibawa oleh polis ke kediaman mereka di Damansara Damai, pada Isnin.
Dipercayai tujuan suspek berkenaan dibawa ke situ adalah bagi melakonkan semula kejadian.
Pada 6 Disember tahun lalu, mayat Zayn Rayyan ditemui di anak sungai berhampiran kawasan Apartmen Idaman Damansara Damai pada jam 10 malam.
Mayat mangsa ditemui oleh kumpulan penduduk yang menjalankan operasi mencari.
Polis mengesahkan mangsa dipercayai dibunuh susulan hasil bedah siasat menemukan kesan kecederaan pada leher dan tubuh kanak-kanak yang mempunyai kaitan akibat perbuatan jenayah.
Kes disiasat mengikut Seksyen 302 Kanun Keseksaan.