Writ saman dan tuntutan itu difailkan bagi tujuan ganti rugi khas, deklarasi dan permohonan maaf daripada 11 defendan di Mahkamah Tinggi Tawau melalui Messrs Lincon & Co, Sandakan pada 15 Ogos lalu.
Defendan terdiri daripada bekas Pengarah Jabatan Siasatan Jenayah (JSJ) PDRM, Datuk Seri Abdul Jalil Hassan; Ketua Polis Kuala Lumpur, Datuk Rusdi Mohd Isa; Ketua Polis Selangor, Datuk Hussein Omar Khan dan bekas Pesuruhjaya Polis Sabah, Datuk Idris Abdullah sebagai defendan pertama hingga keempat.
Turut dinamakan ialah Ketua Polis Daerah Tawau Asisten Komisioner Jasmin Hussin; Asisten Komisioner Ts Dr Mohd Hakim Hashom, Deputi Superintenden Yusman Shahri Marinsah dan bekas Ketua Polis Negara, Tan Sri Acrl Sani Abdullah Sani turut dinamakan sebagai defendan kelima hingga kelapan.
Sementara itu, PDRM, Jabatan Peguam Negara dan kerajaan Malaysia pula sebagai defendan kesembilan hingga ke-11.
Menurut kenyataan Mat Zaki, tindakan itu diambil walaupun mereka telah dibebaskan dan dilepaskan daripada tuduhan 302 Kanun Keseksaan kerana terbukti tidak bersalah.
"Tetapi saya dan bekas anggota ESSCOM sebelum ini di bawah saya terus ditekan dari berbagai sudut, dipindahkan keluar dari ESSCOM dan kemudian dipindah keluar dari kontinjen Sabah tanpa justifikasi yang jelas seolah-olah kami telah bersalah.
"Kes kami sebelum ini telah tular di media utama, media alternatif serta media sosial dan ia telah menyebabkan masyarakat umum dan rakan sepasukan menganggap kami memang pelaku yang bersalah di dalam kes pembunuhan yang dituduh terhadap kami.
"Perkara ini telah menjejaskan maruah, nama baik serta reputasi kami dengan teruk sehingga ke hari ini.
"Tuduhan dan tangkapan salah yang dibuat tanpa bukti ini juga telah menjejaskan reputasi saya dalam komuniti perisikan Malaysia, Filipina dan Indonesia yang mana sebelum kes ini saya telah berjaya membina jaringan kerja yang baik untuk bersama-sama menjaga keselamatan perairan tiga negara dari ancaman pengganas rentas sempadan," katanya dalam satu kenyataan pada Selasa.
Tambah beliau lagi, walaupun telah dilepaskan daripada tuduhan oleh mahkamah selepas setahun direman di penjara, namun pihak yang bertanggungjawab dalam pertuduhan salah terhadap mereka tidak pernah berusaha untuk memohon maaf.
"Mereka juga tidak cuba memulihkan maruah nama baik dan reputasi kami yang terjejas teruk dengan tuduhan yang tidak benar.
"Malah setelah bebas, kami terus ditekan dari berbagai sudut oleh defendan biarpun kami masih dalam proses untuk pulih dari kesan truma yang disebabkan oleh tuduhan salah yang mereka buat," katanya.
Dalam kenyataan tersebut, Mat Zaki dalam pada itu mendakwa mereka terpaksa mengambil tindakan mahkamah dengan menuntut ganti rugi dan memulihkan maruah mereka di mata masyarakat.
Beliau turut mendedahkan bahawa tiga lagi bekas pegawai dan anggota ESSCOM yang telah dituduh bersama mereka juga dijangka turut menfailkan tindakan sama dalam masa terdekat melalui peguam masing-masing. -- Sinar Harian