Kaukus itu dalam kenyataan pada Jumaat berkata tindakan itu bukan sahaja mencabuli hak asasi kebebasan beragama atau berkepercayaan rakyat Palestin tetapi juga menghina sensitiviti agama lebih 1.5 bilion orang umat Islam seluruh dunia.
"Penggunaan kuasa sembarangan oleh tentera rejim apartheid penjajah Israel ke atas rakyat Palestin yang tidak berdaya adalah berlawanan dengan semua norma dan perundangan kemanusiaan dan hak asasi manusia," menurut kenyataan itu.
Menurut Kaukus itu, dengan melakukan serbuan haram, Israel telah memungkiri janji terkininya untuk menghormati bulan mulia Ramadan.
Kenyataan itu memaklumkan, Kaukus melalui mesyuarat pertamanya pada Rabu lepas menyeru keamanan, kebebasan dan keadilan untuk rakyat Palastin serta menggesa masyarakat antarabangsa dan Ahli Parlimen seluruh dunia mengambil tindakan segera menghentikan pelanggaran janji Israel yang kian bertambah sepanjang tahun ini.
"Komitmen kami terhadap perjuangan Palestin tidak berbelah bahagi, dan kami akan melakukan yang terbaik untuk memastikan suara mereka didengari dan hak mereka dihormati," katanya.
Menurut kenyataan itu, Kaukus berkenaan juga akan melaksanakan beberapa strategi dan tindakan bersama pihak berkepentingan dalam usaha mencapai hak, kebebasan dan keadilan untuk Palestin. - BERNAMA