KUALA LUMPUR :Beberapa lagi individu akan ditahan berhubung isu sindiket kartel daging import haram.

Pengarah Suruhanjaya Pencegahan Rasuah Malaysia (SPRM) Johor, Datuk Azmi Alias berkata, pihaknya telah mengenal pasti beberapa lagi individu dan tangkapan akan dibuat bagi melengkapkan siasatan.

Beliau bagaimanapun enggan mendedahkan identiti individu berkenaan sama ada melibatkan pegawai kerajaan atau sebaliknya.

"Buat masa ini saya tidak dapat nak dedahkan (identiti) kerana dikhuatiri menganggu siasatan," katanya ketika dihubungi Astro AWANI di sini, pada Selasa.


 

Hari ini, tiga lagi Penolong Pegawai Penguatkuasa Jabatan Perkhidmatan Kuarantin dan Pemeriksaan Malaysia (MAQIS) Johor Bahru direman selama lima hari berhubung siasatan terhadap isu kartel daging.

Perintah reman dikeluarkan oleh Penolong Pendaftar Mahkamah Majisteret Johor Bahru, Nur Fathiah Mohd Fedzir di Mahkamah Majistret Johor Bahru, Johor.

Kesemua mereka yang berusia 40 hingga 55 tahun itu ditahan di pejabat SPRM Johor kira-kira pukul 7 malam pada Isnin, kerana disyaki terlibat dengan kegiatan rasuah berhubung kemasukan daging sejuk beku tidak dibenarkan Jabatan Veterinar Malaysia.

BACA: Isu penyeludupan daging di luar bidang kuasa Jakim

BACA: Kartel daging: Apa yang kita tahu setakat ini

BACA: Kartel daging: 3 Penolong Pegawai Penguatkuasa MAQIS Johor direman

[INFOGRAFIK] Kronologi Kartel Daging