IPOH: Seorang kanak-kanak lelaki berusia 10 tahun dilaporkan hilang di kawasan Pantai Teluk Senangin, Lumut hari ini ketika beriadah bersama ahli keluarganya.

Penolong Pengarah Bahagian Operasi Jabatan Bomba dan Penyelamat Malaysia (JBPM) Perak Sabarodzi Nor Ahmad berkata pihaknya menerima panggilan berkaitan kejadian pada 3.19 petang selepas ahli keluarga mangsa membuat laporan polis apabila menyedari mangsa hilang kira-kira 1 tengah hari.

Beliau berkata bomba melakukan operasi pencarian di sekitar kawasan pantai pada 3.30 petang.

"Keluarga buat laporan polis bahawa hilang (mangsa) di tepi pantai. Berdasarkan maklumat pengunjung, mereka tak nampak ada kanak-kanak tenggelam atau lemas, tetapi kita ambil kira juga sebarang kemungkinan sama ada dia (mangsa) berjalan ke tepi hutan dan sebagainya," katanya ketika dihubungi hari ini.

Menurut Sabarodzi, operasi pencarian dihentikan pada 6.30 petang tadi dan akan bersambung pada 8 pagi esok.

-- BERNAMA