TAIPING: Perintah reman seorang wanita dan teman lelakinya yang berakhir hari ini disambung enam hari lagi, hingga 12 Ogos ini.

Ketua Polis Daerah Taiping ACP Razlam Ab Hamid, pihaknya telah membuat permohonan sambung reman itu pagi ini bagi meneruskan siasatan kes kematian seorang kanak-kanak berusia 9 tahun di Taman Panglima, Asaam Kumbang, Taiping Ahad lepas.

“Siasatan masih diteruskan dan kertas siasatan akan dirujuk kepada Timbalan Pendakwa Raya dalam masa terdekat,” katanya kepada pemberita hari ini.

Pada Isnin, media melaporkan seorang  wanita dan teman lelakinya yang disyaki terlibat dalam kes kematian seorang kanak-kanak berusia 9 tahun di Taman Panglima, Asaam Kumbang, Taiping Ahad lepas, direman selama tujuh hari.

Kanak-kanak itu ditemukan meninggal dunia di sebuah rumah hasil maklumat orang awam yang melaporkannya kepada polis kira-kira pukul 11 pagi.

Hasil siasatan awal pihak forensik di tempat kejadian mendapati terdapat unsur penderaan terhadap mangsa terbabit.

Polis kemudian menahan ibu mangsa dan teman lelaki yang masing-masing berumur 36 tahun dan 30-an yang turut tinggal di rumah berkenaan bagi membantu siasatan di bawah Seksyen 302 Kanun Keseksaan kerana membunuh.

Mangsa dilaporkan didera sejak Mac dan mayat dibawa ke Jabatan Forensik Hospital Taiping untuk bedah siasat.