Seorang kanak-kanak perempuan berusia enam tahun yang dilaporkan hilang di Taman Yayasan Sungai Jarom, Jenjarom dekat sini pada 1 tengah hari tadi ditemui selamat.

Ketua Polis Daerah Kuala Langat, Supt Azizan Tukiman berkata kanak-kanak itu dijumpai bersendirian oleh orang awam yang kebetulan lalu di kawasan tepi sungai yang jaraknya kira-kira 500 meter dari rumah keluarga mangsa pada pukul 5.30 petang tadi.

"Kanak-kanak itu diserah kepada polis dan telah dibawa ke Hospital Banting untuk pemeriksaan lanjut sebelum dikembalikan ke pangkuan keluarganya," katanya ketika dihubungi Bernama di sini hari ini.

Azizan turut menafikan kanak-kanak berkenaan dilarikan atau diculik oleh individu yang tidak dikenali seperti yang ditularkan di media sosial.

Menurutnya sebelum hilang, kanak-kanak itu dikatakan mengikuti nenek dan jirannya ke belakang rumah untuk membuang kayu.

"Selepas membuang kayu, neneknya menyedari cucunya itu telah tiada dan usaha mencari di sekitar kawasan perumahan itu gagal menemuinya," katanya sambil menambah ibu kanak-kanak itu sedang bekerja di sebuah klinik swasta berhampiran kawasan perumahan itu ketika kejadian berlaku.

Terdahulu telah tular satu salinan laporan polis kononnya kanak-kanak berkenaan telah dilarikan oleh seorang individu yang memakai jaket hitam dengan menaiki motosikal berwarna merah.

-- BERNAMA