KUCHING:Kampung Budaya Bidayuh (BCV) akan menjadi tarikan baharu pengunjung dalam dan luar Sarawak untuk mengenali budaya dan tradisi etnik itu secara mendalam.

Pembinaan yang melibatkan peruntukkan RM16.6 juta daripada kerajaan negeri itu dijangka siap sepenuhnya pada April 2021.

Presiden Persatuan Penyelidikan dan Pembangunan Pergerakan Singai Sarawak (REDEEMS), Datuk Peter Nansian Nguise percaya projek itu akan memperkasakan identiti etnik Bidayuh terutama dalam program berkaitan kajian dan pembangunan (R&D).

“Ini adalah langkah bernas daripada kerajaan negeri untuk membantu masyarakat melalui Badan Bukan Kerajaan (NGO)”,

“REDEEMS selaku NGO akan terus berkhidmat kepada komuniti dalam memastikan sokongan berterusan dapat digerakkan kepada kerajaan”, jelasnya selepas melakukan kunjungan hormat kepada Ketua Menteri, Datuk Patinggi Abang Johari Tun Openg di sini, hari ini.

Tambahnya, BCV akan diisi dengan program-program berkaitan sambutan dan adat antaranya untuk perayaan Gawai Dayak.

“Tahun hadapan kita boleh mengadakan sambutan Gawai tapi mesti melihat kepada situasi perintah kawalan pergerakkan”, tambahnya.

Pembukaan BCV dijangka akan diumumkan pada Julai tahun 2022 bersempena ulang tahun ke 25 penubuhan REDEEMS.