Gabungan NGO Gerakan Merah Malaysia (GNGMM) mendakwa himpunan berjaya selepas kumpulan Bersih gagal memasuki Dataran Merdeka di ibu negara hari ini.

Menurut Ketua Pemuda GNGMM, Zainuri Zainal, 43, kehadiran Baju Merah mampu menyekat dan mengawal kumpulan Bersih.

"Apabila tiada pergerakan daripada pihak Bersih untuk masuk ke Dataran Merdeka, seperti mana mereka gembar-gemburkan sebelum ini, jadi ini merupakan satu kejayaan kepada kami bahawa mereka selalu mengomong-omong untuk merempuh atau menceroboh masuk ke Dataran Merdeka.

"Hakikatnya, kehadiran kita (Baju Merah) mampu menyekat dan mengawal pergerakan mereka,"katanya ketika ditemui di Padang Merbok, di sini hari ini.

BACA: Di sini ada lapor langsung Bersih 5

BACA: Bersih 5: Armand, Howard Lee ditahan polis

Jelanya lagi, kehadiran mereka bukanlah untuk mencetuskan keadaan huru-hara di ibu negara namun lebih kepada menjadi kumpulan kepada pihak berkuasa termasuk Polis Diraja Malaysia (PDRM)

GNGMM memulakan perarakan mereka di Jalan Putra pada jam kira-kira 11.10 pagi Sabtu.

Mereka kemudiannya mula berarak sepanjang Jalan Tunku Abdul Rahman, Jalan Kuching dan berakhir di Padang Merbok sehingga kira-kira jam 3.30 petang.

Zainuri berkata kumpulan GNGMM kemudiannya berkumpul di sekitar Pasar raya SOGO, sebelum bersurai pada jam kira-kira 4.20 petang.

Sementara itu, pihak polis mengesahkan seramai 2,500 peserta menyertai Himpunan Gerakan Merah.