PAS dijangka mampu mempertahankan kerusi Dewan Undangan Negeri (DUN) Sungai Limau pada Pilihan Raya Kecil(PRK) esok namun dengan majoriti yang lebih kecil, menurut satu kajian oleh badan penyelidikan Ilham Centre.

Menurut kajian itu, tiada perubahan besar berlaku kepada corak pengundian pada hari Isnin berdasarkan maklum balas pengundi ketika ditanya sama ada akan memberi undi kepada PAS atau BN. Keputusannya, PAS mendahului dengan 48% manakala BN pada 42%.

Daripada jumlah itu, 10% lagi pengundi masih belum membuat keputusan.

Menurut Pengerusi Eksekutif Ilham Centre Muhamad Hisommudin Bakar (gambar), kajian Ilham mendapati faktor identifikasi parti yang “terlalu menebal” dikalangan pengundi menyumbang kepada pengekalan undi PAS di sini.

sg limau

Kajian juga mendapati pengundi Cina kelihatan berhati-hati dalam membuat keputusan kali ini.

“Undi Cina disifatkan mendekati model pilihan rasional (rational choice model) yang mengambil kira aspek untung rugi, faedah serta impak kepada komuniti mereka,” kata Muhamad Hisommudin.

sg limau

“BN kelihatan optimis untuk menang dalam pilihan raya kecil ini berasaskan beberapa elemen yang kelihatan memberi peluang buat parti itu untuk menang,” kata beliau.

Antara elemen-elemen itu ialah asas sokongan penyokong tegar dan setia parti yang masih kekal, serangan jentera kempen yang berjaya membuat penembusan keatas kubu kuat PAS dan di daerah mengundi marginal, serta komposisi pengundi muda yang tinggi yang dianggap condong menyokong mereka.

Kajian tersebut juga menyatakan PRK ini menunjukkan pertembungan secara langsung antara PAS dan UMNO, dan bukan Barisan Nasional dengan Pakatan Rakyat.

Walaupun dianggap ‘underdog’, kajian menunjukkan UMNO kelihatan cukup agresif menggunakan segenap instrumen dan kekuatan jentera kempen.

Manakala PAS pula menggunakan strategi bertahan kerana yakin dengan kesetiaan pengundi untuk kekal dengan PAS.

“Penilaian pola sokongan pengundi tidak berlaku anjakan ketara berdasarkan tiada pengumuman lompat parti bagi kedua-dua pihak. Senario ini mengukuhkan bahawa pengundi Melayu selesa dengan mengekalkan status quo pilihan parti mereka.”

sg limau

Soal selidik Ilham bermula 28 Oktober dan berakhir pada 1 November 2013 dan berjaya menemubual secara berdepan dengan 602 responden di kesemua 19 daerah mengundi dalam PRK Sg Limau.

“Berdasarkan hasil kajian, pengundi N20 Sungai Limau cukup tegar dan faktor kesetiaan kepada parti mengatasi faktor-faktor lain,” kata Muhamad Hisommudin.

Faktor parti inilah yang menyumbang 81% kepada pengundi untuk memilih calon berbanding faktor calon 12% dan faktor isu-isu lain hanya pada paras empat peratus sahaja.

Selain itu, kewujudan dua buah sekolah pondok iaitu Pondok Bukit Besar dan Pondok Pak Ya Junid turut menjadi asas sokongan masyarakat setempat kepada PAS.

Menurut Muhamad Hisommudin, antara keunikan kawasan ini ialah peratusan pengundi atas pagar (fence sitter) amat kecil iaitu hanya sekitar 11 peratus sahaja, berbanding di kawasan-kawasan lain yang kebiasaannya mencecah 30 peratus.

sg limau

Ilham Centre juga telah mengukur sejauh mana pengaruh bekas menteri besar Kedah dan bekas ADUN, Tan Sri Azizan Razak pada PRK kali ini, dimana kajian mendapati pengaruh Allahyarham “memang ketara dan kukuh”.

Manakala pengaruh Menteri Besar Datuk Mukhriz Mahathir dinilai berdasarkan “kesungguhan beliau turun padang menemui pengundi”.

Walaupun faktor calon hanya 12 peratus dinilai oleh pengundi, jika dibandingkan calon PAS dan calon UMNO/BN, kajian Ilham menunjukkan “ternyata calon PAS mempunyai kelebihan yang ketara.”

“Kekuatan calon PAS Ustaz Mohd Azam Abdul Samad lebih dikenali oleh pengundi sebelum pilihan raya kecil lagi sebanyak 50 peratus berbanding calon UMNO/BN, Dr Sohaimi Lazim sebanyak 36 peratus sahaja. Dr Sohaimi hanya dikenali selepas pengumuman calon BN dilakukan.”

Kelebihan Azam pada kaca mata pengundi ialah beliau dipilih berdasarkan latar belakang pengajian agama (43 peratus), berasal daripada parti yang sama dengan pengundi (38 peratus) dan berasal daripada keluarga ulama Pondok Bukit Besar (17 peratus) menyumbang sokongan kepada calon ini.

Dr Sohaimi pula kekuatannya terletak kepada sokongan asas penyokong BN (33 peratus) disebabkan beliau calon yang tidak dijangka pengundi sebelum ini. Selain itu beliau juga dilihat oleh pengundi mempunyai kelebihan kelulusan tinggi (16 peratus).

Selain daripada itu, pengundi di Sungai Limau menyifatkan isu-isu nasional mahupun setempat tidak memberikan kesan besar penilaian kepada mereka untuk mengubah pola pengundian.

“Isu-isu yang dimainkan oleh pihak media perdana elektronik mahupun bercetak bersumberkan kenyataan-kenyataan pemimpin kedua-dua parti dilihat gagal mempengaruhi mereka.”