Sebuah kajian yang dilakukan oleh ahli akademik di Amerika Syarikat mendapati bahawa golongan pelajar tidak mampu menggunakan telefon dan belajar dengan serentak.

Artikel oleh BBC News itu berkata kajian dibuat di tiga buah universiti iaitu Universiti Ohio, Universiti Illinois State dan Universiti Nebraska adalah bagi melihat adakah pelajar benar-benar dapat menangkap apa yang diajar gurunya ketika dalam masa yang sama menggunakan beberapa gajet pintar.

Sebanyak 145 mahasiswa telah menjalani ujian dalam kajian yang dinamakan ‘Mobile Phones in the Classroom: Examining the Effects of Texting, Twitter, and Message Content on Student Learning’ ini.

Pensyarah dari Jabatan Pembangunan Manusia dan Pengajian Keluarga, Universiti Putra Malaysia (UPM) Profesor Madya Dr Mansor Abu Talib turut bersetuju dengan kajian tersebut dan menyatakan bahawa keadaan itu juga akan menyebabkan perhatian pelajar kurang di dalam kelas.

“Melalui pengalaman dan refleksi pelajar dalam kelas, saya bersetuju kepada kajian tersebut dan sememangnya tumpuan pelajar akan terjejas sekiranya banyak masa digunakan bagi melayari laman web tertentu, menjawab email atau pun berSMS.

“Malahan ia juga mampu mengalih fokus rakan yang duduk berhampiran dan juga rakan sekelas yang lain. Pensyarah juga akan terjejas fokusnya akibat gangguan ini dan perhatian yang diberikan oleh pelajar kepadanya,” katanya kepada Astro AWANI.


beberapa kajian sebelum ini turut membuktikan bahawa penggunaan telefon bimbit di dalam bilik kuliah dianggap sebagai gangguan.
Di United Kingdom sendiri, perdebatan hebat sering dilakukan dalam menentukan sama ada telefon harus dibenarkan di sekolah atau tidak.

Kata Prof Mansor lagi, beberapa kajian sebelum ini turut membuktikan bahawa penggunaan telefon bimbit di dalam bilik kuliah dianggap sebagai gangguan.

“Kajian Lenhart, Ling, Campbell dan Purcell (2010) menyatakan isu utama pengunaan telefon bimbit dalam bilik kuliah ialah gangguan terhadap pelajar yang lain serta pensyarah yang sedang mengendalikan kuliah atau menjayakan aktiviti pengajaran dan pembelajaran.

“Ini disokong oleh kajian Baker, Lusk, dan Neuhauser (2012) ke atas 882 pelajar universiti yang majoritinya bersetuju pengunaan telefon bimbit semasa kuliah akan mengalih fokus mereka dan pelajar lain dalam menumpukan sepenuh perhatian kepada pembelajaran.

“Bagaimana pun terdapat juga kajian yang melihat kesan positif berSMS namun ramai berpendapat ianya perlu dilakukan di luar masa kuliah,” jelas Prof Mansor.

Bagaimanapun, Prof Mansor turut menekankan bahawa pensyarah kini banyak mengubah cara penyampaian dan pembelajaran di bilik kuliah.

“Kebanyakan pensyarah telah berubah kepada modaliti berpusatkan pelajar di mana pensyarah berfungsi sebagai fasilitator. Maksudnya, kuliah pelajar tidak lagi duduk secara bilik darjah tetapi dalam bulatan atau melakukan aktiviti perbincangan secara kumpulan.

"Namun begitu, bagi kelas yang besar bilangan pelajarnya dan isi kuliah yang bersifar teoritikal - tidak memungkinkan ini dilaksanakan secara optimum.

"Lantaran itu menyebabkan pelajar terasa tidak dikawal dan lantas menyebabkan mereka mengubah perhatian kepada sesuatu yang di dalam kawalan mereka itu bermain dengan telefon bimbit,” jelasnya.


Dr mansor
Profesor Madya Dr Mansor Abu Talib bersetuju dengan kajian tersebut dan menyatakan bahawa keadaan itu juga akan menyebabkan perhatian pelajar kurang di dalam kelas. -Foto Facebook


Dalam pada itu, pelajar jurusan Ekonomi UPM, Muhd Farhan Zakaria merasakan cara pengajaran pensyarah kadangkala menyebabkan pelajar mula tukar fokus kepada telefon.

“Antara lain faktor yang mendorong penggunaan telefon di dalam kelas adalah kerana corak pengajaran oleh pensyarah yang gagal menarik perhatian pelajar untuk memberi konsentrasi penuh di dalam kelas.

“Saya juga bersetuju telefon menjadi faktor gangguan jika pelajar itu sendiri memilih untuk melayani mesej yang masuk atau pun applikasi yang ada, lebih-lebih lagi ketika mengulangkaji pelajaran atau ketika membuat tugasan.

“Namun begitu, telefon juga menjadi perantara yang baik bagi pelajar seperti kami terutama sewaktu ulang kaji kerana ia memudahkan berkomunikasi bagi mendapat dan berkongsi maklumat sesama rakan dengan hanya melalui satu panggilan mahupun mesej tanpa perlu berjumpa secara berdepan.

"Secara tidak langsung ianya dapat memberikan lebih ruang masa untuk mengulang kaji dengan suasana lebih privasi,” kata Farhan.

Baru-baru ini, kajian oleh Sekolah Ekonomi London di empat buah sekolah di sana mendapati bahawa ada kenaikan enam peratus dalam keputusan mahu telefon diharamkan di sekolah.

Di United Kingdom sendiri, perdebatan hebat sering dilakukan dalam menentukan sama ada telefon harus dibenarkan di sekolah atau tidak.