Kerajaan digesa meneliti semula pengambilan remaja yang mengandung anak luar nikah di bawah usia 18 tahun untuk ditempatkan ke pusat perlindungan dan pemulihan.

Bekas Pengerusi Kem Modal Insan Kewaja dan Aktivis Sosial, Yahya Mohamed Yusof berkata, kerajaan perlu mempertimbang untuk mengambil kes membabitkan remaja berusia 18 tahun ke atas.

Katanya, kerajaan juga perlu mempertimbang beberapa isu sampingan seperti had umur kemasukan dan bayaran yang tinggi dari pusat perlindungan sendiri.

"Banyak pusat perlindungan dan pemulihan tidak mampu untuk mengambil mereka yang terlanjur kerana terlalu banyak kes.

"Ini menjurus kepada kes yang dirujuk kepada tempat yang tidak sepatutnya," kata Yahya dalam satu temubual bersama Astro AWANI.


Yahya berkata demikian ketika mengulas kenyataan Kementerian Pembangunan Wanita, Keluarga dan Masyarakat yang bersedia melindungi remaja mengandung luar nikah yang diabaikan keluarga.

Dalam perkembangan berkaitan, Yahya menekankan pengurusan dan perancangan perlu dilakukan untuk memastikan isu itu diselesaikan sepenuhnya.

"Kita perlu siasat dan kaji apa punca masalah gejala ini dan tindakan perlu di ambil kepada pihak yang bersalah.

"Perbuatan itu tidak digalakkan, tetapi mereka yang mengalami masalah perlu dibantu,"

Jelasnya lagi, kemasukan ke pusat pelindungan bukan jawapan kepada isu remaja bermasalah tetapi memerlukan kajian terperinci serta menyeluruh bagi menyelesaikan isu ini.