Saya ingin berikan sedikit pandangan mengenai kenaikan ataupun perubahan dalam sistem MUET seperti yang telah dibentangkan dalam Bajet 2015.

Pertama, saya tidak nafikan bahawa keperluan untuk menguasai Bahasa Inggeris itu makin meningkat hari demi hari, tapi kenapa selain daripada menaikkan tahap kelayakan MUET berdasarkan jurusan, pihak kerajaan tidak mengambil cara untuk mendidik dari akar umbi? Saya ingin merujuk kepada pemansuhan PPSMI itu sendiri.

Dan berpijak di bumi nyata, sebagai seorang pelajar undang-undang, untuk memperoleh Band 4 itu pun sudah cukup susah bagi para pelajar. Berdasarkan statistik sendiri kita dapat lihat bagaimana kecilnya bilangan pelajar yang dapat meneruskan pengajian di universiti-universiti awam kerana kebanyakannya terkandas di peringkat asasi, matrikulasi mahupun STPM kerana "high demand" untuk memperoleh Band 4.

Jadi saya mahu menyuarakan kerisauan saya mengenai kenaikan ke Band 5. Ini kerana dikhuatiri lebih ramai pelajar yang tidak akan dapat memperoleh ijazah hanya kerana syarat yang terlalu tinggi. Jujur saya kata, band 4 itu pun sudah cukup maksimum dan baik untuk seorang pelajar jika dapat mencapainya. Namun untuk diwajibkan Band 5 dan ke atas untuk ijazah, mungkin lebih ramai yang akan terkandas hanya kerana MUET.

Tidak dinafikan bahawa kita perlukan mahasiswa yang menguasai Bahasa Inggeris tetapi kita juga perlu lihat sejauh mana kebolehan seseorang pelajar itu adakah dia mampu untuk mencapai Band 5 mahupun Band 6. Akhir kata, pihak kerajaan seharusnya mengkaji terlebih dahulu statistik pencapaian pelajar di dalam peperiksaan-peperiksaan MUET sebelum ini bagi memastikan apa yang bakal dilaksanakan itu memberi kebaikan kepada semua pihak.

____________________

* Ahmad Iqbal Nor Azam merupakan pelajar jurusan undang-undang tahun 1 di sebuah universiti awam
* Tulisan ini adalah pandangan peribadi penulis dan tidak semestinya mewakili pandangan Astro AWANI.