Ringkasan AI
- Kenaikan Subsidi FLYsiswa: Kerajaan menaikkan kadar bantuan subsidi pembelian tiket penerbangan FLYsiswa kepada RM400 seorang bermula 1 Januari 2025, seperti diumumkan oleh Perdana Menteri Datuk Seri Anwar Ibrahim.
- Manfaat kepada Pelajar: Bantuan ini akan memanfaatkan 74,500 pelajar dari universiti awam, politeknik, IPG, dan matrikulasi, serta dianggarkan 60,000 pelajar yang menggunakan penerbangan domestik antara Semenanjung, Sabah, Sarawak, dan Labuan.
- Komitmen Kerajaan: Kerajaan komited untuk meringankan beban mahasiswa dan memastikan mereka dapat fokus pada pembelajaran, dengan 74,500 pelajar telah menerima manfaat subsidi tiket penerbangan sejak pelaksanaan inisiatif ini pada 2023.
Perkara itu diumumkan Perdana Menteri, Datuk Seri Anwar Ibrahim ketika berucap dalam Karnival Pengangkutan Siswa MADANI di Universiti Teknologi Mara (UiTM) Shah Alam pada Khamis.
“Saya umumkan (bantuan subsidi pembelian tiket) naik RM400,” jelasnya secara ringkas.
Bantuan itu bakal memanfaatkan 74,500 pelajar daripada universiti awam, politeknik, Institusi Pendidikan Guru (IPG) dan matrikulasi seluruh negara.
Pelaksanaan ini juga dijangka akan memanfaatkan lebih kurang 60,000 orang pelajar yang menggunakan penerbangan bagi laluan domestik di antara Semenanjung, Sabah, Sarawak dan Wilayah Persekutuan Labuan.
Dalam masa sama, Anwar menjelaskan, kerajaan sentiasa cakna terhadap isu-isu yang melibatkan mahasiswa di negara ini.
"Manusia ini layak mempunyai nilai manusiawi, ini tumpuannya sebab itu beban mahasiswa ini kita cuba ringankan, kita mahu anak-anak pusatkan perhatian dalam pembelajaran," ujarnya.
Semenjak pelaksanaan inisiatif tersebut pada 2023 hingga 10 Disember lalu, seramai 74,500 orang pelajar (73 peratus) daripada keseluruhan 102,150 pelajar yang layak telah menerima manfaat daripada bantuan subsidi tiket penerbangan ini.
Ia merangkumi 37,551 (75 peratus) daripada 50,095 pada tahun 2023 dan 36,949 pelajar atau 71 peratus daripada keseluruhan 52,055 pelajar sehingga 10 Disember 2024, telah menebus baucar digital masing-masing dengan syarikat-syarikat penerbangan negara.