KUALA LUMPUR: Pada 1 Mac lepas, kadar baharu Cukai Jualan dan Perkhidmatan (SST) yang dinaikkan daripada enam peratus kepada lapan peratus dikuatkuasakan, mencetuskan polemik bahawa akan berlaku peningkatan harga barang secara mendadak.
Lebih-lebih lagi pelaksanaan kadar baharu SST tersebut begitu hampir dengan permulaan sesi persekolahan 2024/2025 dan bulan Ramadan, biarpun Kerajaan MADANI pimpinan Perdana Menteri Datuk Seri Anwar Ibrahim menjelaskan bahawa kadar baharu itu tidak membabitkan barangan keperluan asas seperti makanan serta perkhidmatan tertentu termasuk telekomunikasi.
Dua minggu berlalu, pemerhatian Bernama di beberapa buah pasar raya serta bazar Ramadan di sekitar Lembah Klang mendapati ada peningkatan harga namun tidak melibatkan semua jenis barang.
Menurut pensyarah kanan di Pusat Pengajian Ekonomi, Kewangan dan Perbankan, Universiti Utara Malaysia Dr Nur Hafizah Mohammad Ismail, kenaikan yang berlaku adalah disebabkan oleh kadar baharu SST turut meliputi perkhidmatan logistik yang merupakan nadi rantaian bekalan.
"Bagaimanapun kenaikan harga barang dan perkhidmatan ini bergantung pada peniaga... bagaimana mereka mahu menyalurkan kos (logistik akibat kenaikan kadar cukai sebanyak dua peratus itu) kepada pengguna," jelasnya kepada Bernama.
Dalam bahasa mudah, peniaga berperanan menentukan setinggi mana harga mahu dinaikkan atau sebesar mana margin keuntungan yang ingin diperoleh.
LAIN KEDAI LAIN HARGA
Semakan Bernama mendapati ada kebenaran pada aspek itu.
Misalnya, peniaga martabak di sebuah bazar Ramadan di Gombak, Selangor, Rosli Ali masih mengekalkan harga martabak yang dijualnya pada RM5 sekeping berbanding peniaga lain yang menaikkan harga hingga RM7.
Kata Rosli, 56, meskipun harga barang mentah meningkat, dia tidak berhasrat menaikkan harga martabaknya demi memastikan gerainya terus menjadi pilihan pelanggan.
"Kita tidak nafikan dengan kenaikan kos barang, ditambah cukai lagi, bagi saya bukan sahaja peniaga, pelanggan juga terkesan. Apapun peniaga dan pelanggan, masing-masing ada pilihan.
"Peniaga boleh pilih nak naikkan harga atau tidak, manakala pelanggan boleh pilih nak cari barang yang ikut situasi poket mereka. Macam saya, lebih kepada nak jaga pelanggan tetap, jadi untung sedikit pun bagi saya dah cukup,'' katanya yang menjual martabak daging dan ayam di bazar itu sejak 2022.
Seorang pengunjung bazar yang hanya mahu dikenali sebagai Nurul, 45, berkata dia mendapati kebanyakan harga juadah yang dijual di bazar itu masih sama seperti tahun sudah.
"Misalnya makanan bergoreng seperti mi, masih lagi dijual pada harga biasa iaitu RM5 sebungkus, tetapi untuk nasi berlauk atau nasi campur mungkin agak mahal sedikit, bergantung pada lauk yang kita ambil... ada nasi tomato yang dijual RM7, ada yang jual mahal sedikit hingga RM10.
"Sebenarnya, peningkatan harga ini berlaku sebelum peningkatan kadar SST lagi. Kita boleh tengok beberapa bulan sebelum ini harga barang mentah meningkat. Jadi, apabila SST dinaikkan, maka kita sedia maklum akan berlaku peningkatan harga, cuma kita sebagai pengguna kena bijak berbelanja," kata kakitangan sektor perbankan itu.
Kunjungan Bernama ke sebuah lagi bazar Ramadan di Gombak juga mendapati harga juadah yang dijual tidak banyak berbeza dengan tahun lepas.
Masakan panas seperti mi dan kuetiau goreng, nasi ayam serta nasi goreng masih dijual pada harga RM4 hingga RM5, sementara air balang pelbagai perisa pula berharga RM5 sebungkus.
Semakan di pasar raya pula mendapati, walaupun umumnya harga barangan basah tidak banyak berubah, ada barang-barang tertentu yang merekodkan peningkatan ketara harga seperti ayam segar dan bawang merah yang diimport.
KUKUH KEWANGAN NEGARA
Sepintas lalu, SST adalah cukai peringkat tunggal yang hanya dikenakan ke atas jualan barangan dan perkhidmatan kepada pengguna akhir. Sistem percukaian ini dilaksanakan kembali oleh kerajaan pada 2018 selepas memansuhkan Cukai Barang dan Perkhidmatan (GST) berkadar enam peratus yang berkuat kuasa sejak April 2015.
Berbeza dengan SST, rejim percukaian GST merupakan cukai penggunaan yang dikenakan pada setiap peringkat rantaian pembekalan.
Kenaikan kadar SST daripada enam peratus kepada lapan peratus diumumkan oleh Anwar pada pembentangan Belanjawan 2024 tahun lepas, dengan Kementerian Kewangan mengunjurkan tambahan pendapatan sebanyak RM3 bilion kepada negara, hasil kenaikan dua peratus itu.
Mengulas tentang langkah kerajaan itu, Nur Hafizah berkata kenaikan dua peratus SST tersebut dapat membantu meningkatkan aliran tunai kerajaan dan mengurangkan kebergantungan pada sumber pendapatan lain yang mungkin tidak stabil.
"Selain itu, strategi ini juga berupaya membantu kerajaan menampung perbelanjaan operasi dan perbelanjaan pembangunan tanpa meningkatkan pinjaman mahupun hutang," katanya.
Jelas beliau, perbelanjaan pembangunan penting bagi melaksanakan agenda sosioekonomi negara, termasuk menambah baik kualiti perkhidmatan seperti sistem penjagaan kesihatan, pengangkutan dan perhubungan, sistem telekomunikasi, pendidikan serta program kebajikan sosial yang dapat membantu rakyat secara langsung.
"Pertambahan hasil memungkinkan kerajaan memberikan lebih banyak bantuan kewangan dan subsidi bersasar kepada rakyat bagi menangani ketidaksamaan ekonomi, sekali gus mengurangkan beban rakyat," jelasnya.
Senada, penganalisis ekonomi daripada Universiti Kuala Lumpur (UniKL) Business School Prof Dr Aimi Zulhazmi Abdul Rashid melihat peningkatan kadar SST sebanyak dua peratus itu adalah rasional.
"Peningkatan (kadar) SST diperlukan bagi mengurangkan hutang semasa kerajaan.
"Dalam proses mengurangkan defisit kerajaan (akibat beban hutang), maka kenaikan cukai terpaksa dibuat dengan kesan yang sangat minimum kepada rakyat. Rekod menunjukkan hutang negara melebihi US$255.4 bilion (RM1.22 trilion) pada akhir Disember lepas," katanya kepada Bernama.
Menurut beliau, kerajaan juga sedar kenaikan kadar cukai itu akan memberi kesan kepada rakyat, namun ia berusaha mengecilkan impak berkenaan dengan melaksanakan pelbagai inisiatif termasuk meneruskan pemberian bantuan tunai.
"Ketika ekonomi negara terkesan dek penularan COVID-19, kerajaan menyalurkan pelbagai bantuan kepada rakyat, dan hingga ke hari ini bantuan terbabit masih lagi diteruskan demi merancakkan ekonomi domestik," jelas beliau.
Antara bantuan tunai yang terus diberikan oleh Kerajaan MADANI ialah Sumbangan Tunai Rahmah yang disalurkan kepada isi rumah B40, Bantuan Awal Persekolahan, dan terbaharu, bantuan khas penjawat awam sebanyak RM2,000 yang diberikan pada Februari lepas, bagi meringankan beban rakyat dalam mendepani peningkatan kos sara hidup.
Bersetuju bahawa kerajaan berusaha mengecilkan impak kenaikan kadar SST itu kepada rakyat, Nur Hafizah berkata pada masa sama pengguna juga perlu memainkan peranan dengan mengawal perbelanjaan, bergantung pada pendapatan masing-masing.
"Tidak dapat disangkal, kenaikan kadar cukai itu akan membawa impak kepada pengguna termasuk menurunkan kuasa beli mereka ekoran inflasi. Justeru, di sinilah mereka perlu berbelanja secara bijak," ujar beliau.
PANTAU PROSES KUTIPAN CUKAI
Dalam pada itu, Nur Hafizah berpandangan kerajaan perlu sentiasa memantau proses kutipan cukai bagi membendung kegiatan penyelewengan dan ketirisan sehingga mengakibatkan kerugian kepada negara.
Beliau berkata syarikat dan pihak industri yang culas membayar cukai berkenaan perlu dipastikan mematuhi kewajipan melunaskan cukai.
"Penguatkuasaan undang-undang yang berkesan serta pengauditan berkaitan cukai ini perlu diperkasakan supaya tidak memberi implikasi kewangan kepada negara.
"Ini kerana tahap pematuhan dan mekanisme penguatkuasaan adalah faktor penting yang akan membantu merealisasikan matlamat kerajaan untuk menambah hasil cukai sebanyak RM3 bilion melalui kadar baharu SST yang telah dikuatkuasakan itu,'' katanya.
-- BERNAMA
Bernama
Fri Mar 15 2024
Pemerhatian di beberapa buah pasar raya serta bazar Ramadan di sekitar Lembah Klang mendapati ada peningkatan harga namun tidak melibatkan semua jenis barang. - Gambar hiasan/Astro AWANI
Siasatan undang-undang tentera: Polis analisis rekod telefon Presiden Yoon
Polis menganalisis rekod telefon peribadi Yoon Suk Yeol selepas mendapatkannya sebagai sebahagian daripada siasatan mereka terhadap pengisytiharan undang-undang tentera yang gagal awal bulan ini.
10 Berita Pilihan - (22 Disember 2024)
Antara pelbagai berita dalam dan luar negara yang disiarkan di Astro AWANI, berikut adalah yang paling menjadi tumpuan sepanjang hari ini.
Polis selamatkan dua OKU warga China dijadikan pengemis
Polis menyelamatkan dua Orang Kurang Upaya (OKU) warga China yang dipercayai dijadikan sebagai pengemis.
Op Gempur: JAS Pulau Pinang periksa 250 premis, loji kumbahan sepanjang 2024
Sebanyak 250 premis dan loji kumbahan diperiksa Jabatan Alam Sekitar (JAS) Pulau Pinang sepanjang tahun ini menerusi 12 siri Op Gempur melibatkan semua lima daerah dalam negeri ini.
46 kes tidak patuh SHMMP di Johor tahun ini
Sebanyak 46 kes tidak mematuhi peraturan Skim Harga Maksimum Musim Perayaan (SHMMP) dengan jumlah kompaun RM5,100 direkodkan di Johor tahun ini.
Tujuh sekeluarga tinggal dalam kereta penerima Zakat Pulau Pinang
Tujuh sekeluarga yang terpaksa tinggal di dalam kereta selepas mendakwa ditipu tuan rumah di sini adalah penerima Zakat Pulau Pinang (ZPP).
KPDN Kelantan rampas pelbagai barangan seludup, barangan kawalan bernilai lebih RM6.8 juta
Kementerian Perdagangan Dalam Negeri dan Kos Sara Hidup (KPDN) Kelantan merampas pelbagai barangan seludup dan barangan kawalan dianggarkan bernilai lebih RM6.8 juta sejak awal Januari hingga semalam.
AWANI Tonight: Honda, Nissan begin merger talks, set to form the world’s third-largest automaker
Honda and Nissan are officially exploring a merger to create a joint holding company, with a goal of reaching $191 billion in combined sales.
AWANI Tonight: Addressing Malaysia’s literacy, numeracy gaps
As of October, nearly 74,000 Year 1 pupils have yet to master basic literacy and numeracy skills. Chan Soon Seng from Teach For Malaysia highlights the contributing factors and emphasises the need for more tailored approaches to support students.
479 mangsa terjejas, 113 rumah rosak, roboh akibat ribut
Ribut yang melanda empat perkampungan atas air di sini semalam mengakibatkan 497 orang terjejas dengan 113 kediaman rosak serta roboh.
Kutipan hasil cukai berkurangan selepas SST dilaksanakan semula ganti GST - MoF
Kutipan hasil cukai berasaskan penggunaan telah berkurangan selepas SST dilaksanakan semula bagi menggantikan GST.
Op Pantau: Lebih 1,800 premis diperiksa di Terengganu
KPDN Terengganu menerusi Op Pantau, telah memeriksa 1,806 premis di seluruh Terengganu, bermula 12 Mac.
Sistem cukai SST beri kesan fiskal lebih cepat berbanding GST - Hui Ying
Sistem cukai kepenggunaan semasa iaitu Cukai Jualan dan Perkhidmatan (SST) mampu memberi kesan fiskal yang lebih cepat kepada negara berbanding pelaksanaan cukai nilai tambah seperti GST.
Kesan kenaikan SST, pendaftaran PADU antara tumpuan Dewan Rakyat hari ini
Kesan kenaikan cukai SST ke 8% kepada kos sara hidup rakyat, serta pendaftaran PADU, antara yang jadi tumpuan dalam Dewan Rakyat hari ini.
Ops Kesan: 7,527 premis diperiksa, 409 notis dikeluarkan - Armizan
Menerusi Ops Kesan itu juga 409 notis telah dikeluarkan kepada peniaga untuk tindakan selanjutnya dan 25 aduan telah diterima pihaknya setakat ini.
Kadar baharu SST: Peniaga berperanan tentukan harga - Pakar
Pemerhatian mendapati ada peningkatan harga namun tidak melibatkan semua jenis barang.
Shopee tingkat caj yuran komisen penjual - naik hingga sekali ganda
Shopee menyatakan yuran ini akan dikenakan pada kedai yang telah beroperasi lebih 120 hari sahaja.
GST lebih baik, kurang bebankan rakyat - Ka Siong
Pelaksanaan GST didapati lebih baik dan kurang membebankan rakyat berbanding Cukai Jualan dan Perkhidmatan (SST), kata Ka Siong.
Spritzer berdepan tekanan kos akibat cukai perkhidmatan 8% - MIDF Research
MIDF Research bimbang kemungkinan tekanan inflasi ke atas perbelanjaan operasi Spritzer Berhad yang disebabkan peningkatan harga daripada pembekal akibat cukai perkhidmatan yang lebih tinggi.
SST menyebabkan perbelanjaan rakyat Sabah lebih tinggi - CAPS
Kenaikan cukai perkhidmatan daripada enam peratus kepada lapan peratus telah menyebabkan perbelanjaan harian rakyat Sabah lebih tinggi.