Keadaan banjir di daerah ini agak membimbangkan apabila lebih ramai mangsa banjir dipindahkan.

Pegawai Daerah Rompin, Datuk Syed Ahmad Fuad Syed Taha berkata sehingga 1 tengah hari Selasa, seramai 101 orang daripada 25 keluarga dipindahkan ke Balai Raya Leban Chondong.

Kawasan yang terlibat ialah Kampung Leban Chondong, Kampung Gading, Kampung Rantau Panjang dan Kampung Tebu Hitam.

"Mangsa dipindahkan sejak pagi berikutan paras air yang naik sehingga 0.3 meter akibat hujan yang berterusan sejak Ahad lalu diikuti air pasang besar," katanya kepada pemberita di sini hari ini.

Beliau berkata semua agensi bantuan dan keselamatan termasuk Jabatan Kebajikan Masyarakat, Polis Diraja Malaysia dan Jabatan Bomba dan Penyelamat kini dalam keadaan berjaga-jaga bagi memberikan bantuan awal.

"Ini kerana kita menjangkakan mangsa banjir yang akan dipindahkan ke pusat pemindahan mungkin bertambah," katanya.