KUALA LUMPUR: Keadaan banjir di Johor bertambah baik dengan jumlah mangsa banjir yang ditempatkan di pusat pemindahan sementara (PPS) berkurangan kepada 1,153 orang berlindung di 12 PSS, berbanding 1,428 orang petang tadi.

Menurut laporan yang terkini dikeluarkan Pusat Kawalan Bencana Negara Agensi Pengurusan Bencana Negara (NADMA), ia melibatkan lapan PPS di Kota Tinggi yang menempatkan 761 mangsa, dua PPS di Mersing (265 mangsa), dan sebuah PPS masing-masing di Johor Bahru (43 mangsa) serta Kluang (84 mangsa).

Sementara itu jumlah mangsa yang ditempatkan di sebuah PPS di Kuching ekoran kejadian kebakaran melibatkan sembilan buah rumah di Kampung Bintawa Hilir, Petra Jaya, awal pagi tadi, kekal 38 orang.

Sementara itu, tiga sungai direkodkan berada di paras bahaya iaitu Sungai Endau Kluang dengan paras 14.85 meter (m), Sungai Kedah Kota Setar, Kedah (1.71m) dan Sungai Arau, Perlis (23.73m).

NADMA turut memaklumkan sebanyak 21 jalan ditutup akibat bencana dan kerosakan setakat 8 malam ini, antaranya Jalan Durian Mentangau di Dungun, Terengganu, Jalan Pekan-Nenasi-Rompin di Pekan, Pahang dan Jalan Padang Tembak di Kluang, Johor.

-- BERNAMA