Jabatan Pengairan dan Saliran (JPS) kini mempergiatkan usaha meningkatkan sistem ramalan dan amaran banjir sebagai persediaan menghadapi musim tengkujuh tahun ini.

Menteri Sumber Asli dan Alam Sekitar Datuk Dr Wan Junaidi Tuanku Jaafar berkata sistem amaran banjir itu akan dihantar menerusi khidmat pesanan ringkas (SMS) kepada agensi tertentu bagi menyalurkan maklumat kepada jawatankuasa banjir di peringkat negeri.

"Sistem amaran kita ini bertujuan memberitahu penduduk di kawasan terjejas banjir supaya bersedia berpindah dan saya sudah meminta JPS memaklumkan kepada semua agensi terlibat agar maklumat tertentu disampaikan kepada masyarakat," katanya.

Beliau berkata demikian kepada pemberita selepas melancarkan program Persediaan Menghadapi Musim Tengkujuh di sini, Selasa.

Wan Junaidi berkata satu jabatan khas yang disediakan di setiap negeri akan mengenal pasti tempat perpindahan supaya setiap perancangan daripada segi bantuan disalurkan dengan mudah kepada masyarakat.

"Setiap langkah dan perancangan yang diambil kementerian dan agensi lain adalah bagi memastikan kekurangan yang pernah kita dilalui sebelum ini dapat diperbaiki," katanya.

Sehingga kini, sebanyak 453 stesen aras air dan hujan di seluruh negara dipantau 24 jam oleh bilik gerakan ibu pejabat dan negeri, serta 440 sistem siren telah diletakkan di tempat yang berkemungkinan berlaku banjir.

Sementara itu, Wan Junaidi berkata JPS turut membuat persiapan bagi memastikan keseluruhan sistem Terowong Jalan Raya dan Pengurusan Air Banjir (SMART) berfungsi pada tahap optimum bagi mengurangkan kesan banjir di ibu negara.

Beliau turut menggesa JPS membuat kajian menyeluruh supaya ia boleh dibangunkan di kawasan lain berpotensi berlakunya banjir kilat berikutan fungsi terowong SMART yang berjaya mengelak kejadian banjir sebanyak 182 kali sejak diperkenalkan pada 2007.

Katanya, pembinaan terowong SMART yang dilihat berkesan dalam mengurangkan banjir kilat di ibu negara dapat diaplikasikan di kawasan lain berisiko banjir.