Menteri Besar Kedah Datuk Seri Muhammad Sanusi Md Nor berkata sejak projek itu disiapkan, ia belum pernah teruji dengan aliran air deras dan banyak, sehinggalah dalam kejadian pada Sabtu (7 September).
"Selepas disiapkan, kali ini baru hujan dengan air yang banyak mengalir di Empangan Sabo untuk uji empangan itu, mungkin lepas ini JPS boleh kaji balik.
"Mungkin ada model dan reka bentuk lain atau ada penambahbaikan yang boleh dilakukan, mungkin tak cukup satu kena bina dua," katanya pada sidang media selepas merasmikan penutupan Festival Insan Sejahtera di sini pada Ahad.
Beliau diminta mengulas mengenai kejadian limpahan air deras dari pergunungan Gunung Jerai di kawasan rekreasi Titi Hayun dan Seri Perigi di Yan yang berlaku pada Sabtu, yang turut menjejaskan empat kampung di daerah itu.
Muhammad Sanusi berkata bencana aliran puing yang melanda daerah itu sehingga mengorbankan enam nyawa tiga tahun lepas, telah menyebabkan sungai di lokasi rekreasi terbabit menjadi cetek dan berbatu.
Beliau berkata JPS harus meneliti keadaan itu yang dilihat mungkin menyebabkan Empangan Sabo tidak dapat berfungsi dengan baik dalam menahan atau memperlahankan aliran air yang deras dan banyak.
"Bila berlaku kepala air dulu, sungai di situ menjadi cetek, batu-batu terhimpun di dasar, Empangan Sabo itu mungkin tidak mampu mengatasi (aliran air), mungkin kita kena ada pengorekan semula sungai atau bawa keluar batu-batu," katanya.
Ditanya mengenai persiapan kerajaan negeri dalam menghadapi banjir, Muhammad Sanusi berkata perubahan iklim yang berlaku menyebabkan bencana itu boleh berlaku di mana-mana termasuk kawasan yang tidak pernah dilanda banjir.
"Sama seperti di Kampung Iboi, Baling, sudah diberi kelulusan dasar untuk pembinaan Empangan Sabo di situ, sebab kebanyakan laluan aliran air dari Gunung Inas kini sudah tertumpu ke Sungai Iboi.
"Sekarang ini sudah dilakukan pengorekan untuk mendalamkan sungai itu, inilah langkah-langkah yang dilakukan. Saya harap pada masa banjir penduduk yang terlibat dapat bersabar sementara jabatan teknikal seperti JPS dan Jabatan Mineral dan Geosains (JMG) memikirkan langkah untuk mengatasinya.
-- BERNAMA