Sebanyak tujuh kawasan di Johor kini diwartakan sebagai Zon Larangan Merokok, berkuat kuasa Khamis.

Menteri Kesihatan Datuk Seri Dr S Subramaniam dalam satu kenyataan pada Jumaat berkata orang ramai diminta mengambil maklum terhadap pewartaan tersebut dan tidak merokok semasa berada di dalam kawasan berkenaan.

Dr Subramaniam berkata mana-mana individu yang melakukan kesalahan itu boleh dikompaun RM250 atau didenda sehingga RM10,000 atau dipenjara bagi tempoh tidak melebihi dua tahun sekiranya disabitkan kesalahan oleh mahkamah.

Kawasan yang diwartakan itu ialah Taman Rekreasi Town Park 2 dan Taman Rekreasi Town Park 3 di Taman Seri Austin, Taman Negara Gunung Ledang di Muar, Taman Negara Endau Rompin dan Taman Negara Endau Rompin Tambahan di Segamat serta Taman Negara Pulau Kukup dan Taman Negara Tanjung Piai di Pontian.

Beliau berkata sehingga kini Kementerian Kesihatan telah mewartakan 20 kategori tempat awam yang dilarang merokok di bawah Peraturan-Peraturan Kawalan Hasil Tembakau 2004.