JOHOR BAHRU: Johor terus berusaha bagi mendapatkan kelulusan kerajaan persekutuan membabitkan cadangan taman tenaga solar bernilai RM1.4 bilion di Pengerang, Kota Tinggi.

Menteri Besar Johor Datuk Ir Hasni Mohammad ketika mendedahkan usaha itu berkata kerajaan negeri akan mendapatkan peruntukan khas walaupun kuota di bawah program perolehan Solar Berskala Besar Malaysia (LSS) telah diambil sepenuhnya.

''Terdapat banyak potensi untuk Johor bukan setakat dalam pembangunan tenaga solar tetapi juga peluang bagi menjual tenaga itu, khususnya ke negara jiran, sekali gus menyediakan aliran pendapatan baharu untuk kerajaan negeri,'' katanya.

Dengan menyediakan solar sebagai sumber tenaga boleh diperbaharui, Hasni yang juga ADUN Benut berkata Johor, merupakan negeri ketiga terbesar dalam menarik pelaburan tempatan dan asing, dengan kelebihan solar, ia mampu menarik lebih ramai pelabur pada masa akan datang.

"Pada masa ini kami mempunyai dua pusat data besar. Pusat Data TM One di Medini, Iskandar Puteri dan Kulai Iskandar Data Exchange (KIDEX) di Senai, yang kini berada di Tahap 3.

"Tenaga solar berpotensi menjana tenaga untuk pusat data ini , yang kemudian boleh dinaik taraf kepada Tahap 4, sekali gus menarik lebih banyak syarikat dalam menubuhkan pusat data mereka di Johor,'' katanya, sambil menambah projek pusat data Microsoft Corp dari Amerika Syarikat di Sedenak juga berjalan lancar.

''Kami akan memohon peruntukan khas daripada Suruhanjaya Tenaga dengan menyediakan cadangan yang boleh dijana oleh loji tenaga solar.

"Mungkin tidak pada kapasiti penuh yang kami cadangkan sebelum ini, untuk permulaan, boleh sekitar 100 hingga 150 MW. Kami berharap cadangan ini akan dibentangkan kepada Kabinet untuk pertimbangan,'' katanya ketika ditemui baru-baru ini.

Pada 28 Feb, Sultan Johor, Sultan Ibrahim Almarhum Sultan Iskandar dalam membuat pengumuman mengenai cadangan taman solar yang dinamakan sempena baginda, berkata negeri itu akan menjadi pengeluar utama tenaga mesra alam di Asia Tenggara.

Taman Solar Sultan Ibrahim di Pengerang, Kota Tinggi dijangka menjadi projek yang terbesar seumpamanya di rantau ini dengan kapasiti 450 megawatt. Menerusi usaha pemerintah Johor itu, ia juga merupakan projek pelaburan swasta berskala besar pertama kerajaan negeri bagi 2021.

Bagaimanapun, pada 9 Mac, baginda menitahkan agar upacara pecah tanah projek itu yang dijadualkan berlangsung menjelang 23 Mac bertepatan dengan hari keputeraan baginda yang ke-62 ditangguhkan, selepas kerajaan persekutuan tidak memberi sebarang respons mengenai cadangan tersebut.

Sementara itu pada Jumaat lepas, Suruhanjaya Tenaga Malaysia telah menyenarai pendek pihak-pihak dengan bidaan kira-kira 823 megawatt dalam permintaan untuk cadangan (RfP), yang menyasarkan projek solar bertenaga 1 gigawatt yang dijangka akan mencapai operasi komersial menjelang 2022/2023.

RfP merupakan sebahagian daripada program perolehan Pusingan Empat Solar Berskala Besar Malaysia (LSS) yang dilancarkan pada akhir Mei 2020.

-- BERNAMA