KUALA LUMPUR: Sebanyak 506 taman asuhan kanak-kanak (taska) tidak berdaftar dikesan dan berada di bawah tindakan Jabatan Kebajikan Masyarakat (JKM) sehingga 31 Mei 2024.


Ringkasan AI
  • Sebanyak 506 taska tidak berdaftar dikesan dan diberi notis peringatan oleh Jabatan Kebajikan Masyarakat (JKM) sehingga 31 Mei 2024. Tindakan penguatkuasaan seperti penutupan, kompaun, dan pendakwaan akan diambil selaras dengan Akta Taman Asuhan Kanak-Kanak 1984 (Akta 308).
  • Antara tahun 2020 hingga Mac 2024, lapan taska telah ditutup, 17 taska dikenakan kompaun, dan dua kes didakwa di mahkamah. Beberapa taska yang menepati standard minimum pengoperasian tetapi tidak berdaftar disebabkan kesukaran memenuhi syarat dan prosedur Pihak Berkuasa Tempatan (PBT).
  • Kementerian Pembangunan Wanita, Keluarga dan Masyarakat memberi khidmat nasihat dan memudah cara proses pendaftaran melalui pengaktifan One Stop Centre (OSC) di peringkat negeri dan daerah. Hasil usaha ini, sebanyak 189 taska berjaya dibantu dan lulus pendaftaran antara September 2023 hingga 31 Mei 2024.


Menteri Pembangunan Wanita, Keluarga dan Masyarakat, Datuk Seri Nancy Shukri berkata, semua taska tersebut diberi notis peringatan dan tindakan penguatkuasaan seperti lak (tutup), kompaun dan pendakwaan akan diambil. 

Menurutnya, semua tindakan tersebut adalah selaras dengan peruntukan Akta 308, Akta Taman Asuhan Kanak-Kanak 1984.

“Berdasarkan keputusan terhadap kertas siasatan yang dibuka dan selesai dilengkapkan, sebanyak lapan  buah taska telah dikenakan tindakan lak, 17 telah di kompaun dan dua kes telah didakwa di mahkamah antara tahun 2020 hingga Mac 2024.

“Sementara itu, ada juga sesetengah taska yang sebenarnya menepati standard minimum pengoperasian taska seperti yang ditetapkan oleh JKM, tetapi tidak berdaftar kerana pelbagai faktor.

“Antaranya adalah kesukaran menepati syarat dan prosedur yang ditetapkan oleh Pihak Berkuasa Tempatan (PBT) yang berbeza antara satu kawasan PBT dengan yang lain,” katanya.

Beliau berkata demikian bagi menjawab soalan Datuk Idris Ahmad (PN - Bagan Serai) yang meminta statistik taska tidak berdaftar di seluruh negara di Dewan Rakyat pada Isnin.

Menurutnya, bagi taska yang berdepan dengan situasi sebegitu, kementerian mengambil pendekatan memberi khidmat nasihat serta melaksanakan inisiatif memudah cara proses memenuhi syarat ditetapkan.

Perkara itu dilakukan melalui pengaktifan One Stop Centre (OSC) di peringkat negeri dan daerah.

Jelasnya, hasil usaha tersebut, sebanyak 189 taska telah berjaya dibantu sehingga lulus pendaftaran antara September 2023 hingga 31 Mei 2024.