PASIR MAS: Kementerian Pembangunan Wanita, Keluarga dan Masyarakat (KPWKM) sedang bekerjasama dengan D11, PDRM berhubung kes wanita di bawa lari oleh kumpulan penjenayah.

Timbalan Menterinya, Datuk Siti Zailah Mohd Yusof berkata, PDRM akan melihat pelbagai aspek sama ada berlaku pengabaian terhadap wanita berikutan penglibatan suami mangsa dalam kumpulan sindiket dadah.

"Bagi mereka yang menjadi mangsa sebenarnya kita ada rumah perlindungan tetapi sebelum mereka dilindungi, mereka akan disiasat oleh PDRM.

"Kita ada kerjasama baik dengan unit kanak-kanak dan wanita D11 PDRM, mereka ini akan melihat dan maklum saya kes itu dalam siasatan pihak polis  dan sekiranya mahkamah memutuskan untuk mereka dilindungi, kita ada tempat perlindugan di seluruh negara di bawah Jabatan Pembangunan Wanita," katanya.

Siti Zailah berkata demikian ketika diminta mengulas kes wanita yang dibawa lari ke negara jiran oleh kumpulan penjenayah pada 13 September lepas di Kampung Semat Jal, Tumpat.

Sebelum ini, Pemangku Ketua Polis Kelantan, Datuk Muhamad Zaki Harun memaklumkan, suami mangsa dipercayai terlibat dalam kumpulan sindiket pengedaran dadah.

BACA: Mungkin di Thailand, usaha sedang dilakukan kesan wanita diculik - Polis Kelantan

Tindakan membawa lari mangsa dipercayai ada kaitan dengan perselisihan faham antara kartel dan juga suami mangsa.

Suami mangsa antara tiga induvidi yang ditahan polis bagi membantu siasatan.

Siti Zailah berkata, kes seumpama itu tidak wajar berlaku apatah lagi melibatkan nyawa wanita.

Beliau berkata dalam soal itu, biarlah pihak polis menjalankan siasatan dan berusaha membawa pulang wanita berkenaan.

Beliau juga simpati dengan keluarga mangsa dan menawarkan khidmat kaunseling untuk anak dan ahli keluarga wanita berkenaan.

Sementara itu menyentuh kes seorang kanak-kanak berusia 8 tahun yang dihempas meja oleh ibunya seperti video yang tular beberapa hari lalu, Beliau memaklumkan pihak JKM sedang menunggu proses mahkamah bagi mendapatkan hak penjagaan sementara kanak-kanak itu berikutan ibunya yang menjalani tahanan reman.

Dera | Polis tahan wanita hempas meja ke atas anak