Dabong tidak meniti di bibir rakyat Kelantan, lebih-lebih lagi untuk sampai ke sini jaraknya sangat jauh, lebih 200 kilometer dari Kota Bharu dan mengambil masa tiga jam jika berkereta.
Ya, memang benar, Dabong tiada pembangunan, tiada pasar raya, tiada stesen minyak, tiada kedai kasut berjenama, tiada butik, tiada pusat kecantikan, tiada tarikan buat anak muda dan kaum wanita.
Namun Dabong mempunyai khazanah alam yang amat tinggi nilainya, sehinggakan Air Terjun Gunung Stong disebut sebut oleh pelancong asing.
Dabong, walaupun lokasinya jauh dan kurang popular - pakej pelancongan yang ada di dalamnya lengkap. Dari Gunung Stong, Air Terjun Jelawang, Gunung Ayam, Gunung Haji Tahir, Kompleks Gua Ikan, Air Sungai Kendrong, Jelawang Pipe resort jeram air yang sejuk dingin, fenomena awan karpet, matahari terbit di atas awan, "God's light" di Gua Pagar dan bermacam-macam lagi yang boleh dirakam menjadi kenangan.
Kalau dahulu, sebelum dunia dilanda musibah COVID-19, pelancong asing atau penduduk Dabong memanggilnya Mat Salleh, sentiasa datang untuk menerokai alam semulajadi ini dan mereka memilih menaiki keretapi.
Angkara COVID-19, tiada Mat Salleh dan Minah Salleh yang kelihatan, tetapi hanya Pok Leh, atau Pak Salleh, rakan di Dabong.
Pada tahun 2018, ketika pandemik COVID-19 belum mencengkam industri pelancongan, media Malaysia banyak "menjual" Dabong, tetapi tidak laris.
Namakan apa sahaja bentuk laporan, khazanah Dabong, keunikan Gua Batu Kapur, meneroka hidupan liar terancam dan sebagainya, semua sudah dilaporkan oleh Astro AWANI melalui saya atau Penerbit AWANI PAGI, Marlina Manaf.
Cerita Dabong dan eko pelancongan juga disorot media lain, sama ada percetakan atau televisyen, malah portal-portal juga banyak mengetengahkan tentang keistimewaan Dabong ini.
Usaha selama dua tahun, sejak 2018 menjual Dabong, akhirnya berbaloi. Sambutan pelancong tempatan ke atas Dabong secara perlahan-lahan nampak perubahannya.
Sangkaan saya, sepanjang Perintah Kawalan Pergerakan (PKP) yang bermula Mac 2020, menyebabkan lokasi pelancongan jadi sepi, sekali gus menipiskan poket pemain industri yang terlibat dengan pelancongan, tanpa terkecuali di Dabong.
Tetapi, apabila PKP ditamatkan, diganti PKP Pemulihan, Dabong antara tempat pertama saya kunjungi bersama rakan media, Sinar Harian, Harian Metro.
Laporannya, masih menjurus kepada keindahan dan keunikan Dabong.
Tanpa disangka, laporan yang dibuat bersama Marlina antaranya, Khazanah Gua Dabong, pasca pemulihan eko pelancongan Dabong, Ada Apa di Dabong, Awan Karpet, mencetuskan fenomena sekali gus membawa rakyat Kelantan secara beramai-ramai bertandang ke sini.
Rakyat di luar Kelantan mula datang ke sini bermula akhir Julai, hingga kini, sama ada menaiki kereta api atau berkereta.
Sifirnya mudah. Apabila fenomena, ramai yang datang. Ramai yang datang, pendapatan meningkat.
Cerminannya sebagai contoh, pihak Keretapi Tanah Melayu Berhad (KTMB) menambah koc atau gerabak bagi menampung permintaan.
Perjalanan dengan keretapi dikenali "Train to Dabong" mendapat sambutan luar biasa.
Ini diakui peniaga kedai makan di sebelah Stesen KTMB Dabong, Norikmal Rizal Manaf, yang memaklumkan, pada hari minggu (Jumaat dan Sabtu) kawasan stesen kereta api itu akan dipenuhi orang ramai yang datang dari Kota Bharu.
"Lepas PKP, orang cari tempat melancong. Disebabkan tak boleh ke luar negara, orang memilih melancong dalam negara dan Dabong menjadi pilhan," katanya ketika ditemui di kedai makannya.
"Orang datang sini dengan promosi Astro AWANI. YouTuber datang ke Dabong jadi viral. Dengan viral, orang sini jadi terbuka mata tengok Dabong.
"Dahulu, orang dengar Dabong jauh. Tetapi sekarang, orang datang ke Dabong untuk 'explore'," kata anak jati Dabong ini.
Pemilik kedai mee udang galah yang turut terletak berhampiran Stesen KTMB Dabong, Rohani Hussein, berkongsi pandangan sama apabila mengakui kesan penyebaran maklumat dan promosi media melonjakkan nama Dabong.
"Alhamdulillah perniagaan saya meningkat dua tiga kali ganda, berganda, sampai empat kotak udang galah sehari! Suka lah! Sebagai peniaga, Alhamdulillah, terutama kepada media yang menaikkan Dabong. Terima kasih Astro AWANI," katanya.
Bagi anak muda Wan Zonun Al Masri Wan Abdul Aziz, yang terlibat sebagai pemandu pelancong, kemasyhuran Dabong yang dipromosi media membolehkan mereka memiliki kenderaan pacuan empat roda yang dibeli secara tunai.
Dabong yang dikenali sebagai tempat "jin bertandang" ini kini jadi lubuk rezeki setelah dipopularkan pihak media.
"Kini, di sini lah limpahan meluas rezeki. Sejak Dabong viral, rezeki bertambah, anak muda sini ramai dapat kerja.
"Saya pemandu pelancong. Dalam empat bulan, saya kumpul duit upah bawa orang mendaki gunung, meneroka Gua Ikan dan sebagainya, saya boleh beli Pajero Prado secara tunai," katanya.
Senada dengan beliau, Nik Ali Nik Mohamed yang dahulu bekerja di Korea Selatan mengakui dengan menjadi pemandu pelancong di tempat kelahirannya di Dabong, ia umpama "hujan emas di negeri sendiri".
Selepas tular, dalam tempoh empat bulan sahaja, Nik Ali mengakui ramai yang dahulunya tiada kenderaan, boleh membeli kereta secara tunai, dahulu yang naik basikal atau pinjam motosikal kawan, kini semuanya memiliki aset sendiri.
Pengakuan dan maklum balas penduduk Dabong ini membuktikan peranan media rasmi dan keberkesanan penyampaian maklumat kepada rakyat membantu mengubah sosio-ekonomi di Dabong.
* Penulis ialah wakil Astro AWANI di Kota Bharu, Kelantan.
** Artikel ini merupakan pandangan peribadi penulis dan tidak semestinya mewakili pandangan sidang pengarang Astro AWANI.