Lebih ramai pelajar Malaysia berpeluang menyertai program pertukaran pelajar asing di Jepun menjelang 2020.

Ia susulan komitmen Tokyo memperkukuh kerjasama dengan Kuala Lumpur dalam bidang pendidikan serta budaya khususnya pembangunan pendidikan lestari (ESD).

Komitmen itu dinyatakan wakil delegasi Jepun ke Malaysia, Hiroki Toyooka ketika Mesyuarat Pegawai Kanan Tertinggi Pendidikan ASEAN+3 kali ke-7 pada Selasa.

Jelas Toyooka, Jepun melihat ESD sebagai satu amalan baik yang kini semakin berkembang kalangan negara ASEAN+3.

"Pada persidangan ini, kami ingin menekankan kepentingan Pembangunan Pendidikan Lestari (ESD) dan kerjasama pendidkan tinggi.

"Saya sudah menyebut bahawa kerajaan Jepun telah memberi jangkaan baik terhadap program ESD," katanya.

Pada 2014, sejumlah 2,475 pelajar Malaysia berada di Jepun untuk program pertukaran pelajar asing dan jumlah itu disasarkan meningkat pada 2020.

Bagi tujuan itu Jepun dalam proses mewujudkan program biasiswa baru untuk meningkatkan jumlah pelajar.

Beliau juga berharap persidangan ini akan mengukuhkan lagi kerjasama dalam bidang pendidikan ke arah Penubuhan Komuniti Pendidikan Tinggi Asia.