Jenazah Atase Pertahanan di Kedutaan Besar Malaysia di Indonesia, Brig. Jen. Datuk Jalaludin Md Yusof telah diterbangkan ke negara dengan pesawat C130 Tentera Udara Diraja Malaysia (TUDM) ke Malaysia pada pukul 8.30 pagi tadi.

Jenazah Jalaludin berlepas dari Lapangan Terbang Halim Perdana Kusuma di sini dan turut menaiki pesawat itu menemani jenazah ialah isteri Allahyarham Datin Sadaah Mohamad serta beberapa pegawai kanan tentera.

Pesawat itu akan mendarat di Batu Berendam, Melaka sebelum dibawa ke kampung halamannya di Sungai Udang.

Turut menghantar jenazah Allahyarham ke lapangan terbang itu ialah Duta Besar Malaysia di Indonesia Datuk Seri Zahrain Mohamed Hashim dan isteri Datin Seri Che Mahani Ismail, Wakil Tetap Malaysia ke ASEAN Datuk Hasnudin Hamzah, Timbalan Duta Besar Roseli Abdul dan pegawai-pegawai kanan kedutaan.

BACA: Atase Pertahanan di Kedutaan Besar Malaysia Indonesia meninggal dunia

Terdahulu, jenazah Allahyarham disembahyangkan di kediaman rasmi Kedutaan Besar Malaysia di Jalan Rasuna Said, Kuningan di sini.

Allahyarham Jalaludin, 57, meninggal dunia setelah rebah dalam dewan utama di Kedutaan Malaysia selepas makan pada majlis berbuka puasa anjuran kedutaan.

Allahyarham yang disahkan meninggal dunia pada pukul 8 malam di Hospital MMC di sini, meninggalkan seorang isteri dan lima orang anak.