Jelajah ini bertujuan memperluaskan peluang pekerjaan dan pembangunan kerjaya wanita di Selangor, melengkapkan mereka dengan kemahiran yang diperlukan bagi menceburi industri secara kompeten.
Menteri Besar Selangor, Datuk Sri Amirudin Shari dalam ucapannya berkata Kerajaan Selangor menyokong inisiatif digerakkan WBS dan TalentCorp yang bernaung di bawah Kementerian Sumber Manusia (KESUMA).
“Kerjasama ini bertepatan pada masanya untuk memastikan wanita di Selangor, khususnya golongan berpendapatan rendah dan sederhana boleh mendapat sokongan bagi berkembang maju.
“Ia selaras dengan dedikasi Kerajaan Selangor untuk memperkasa wanita melalui penyertaan ekonomi,” katanya ketika menghadiri Konvensyen Wanita MyWira 2025 di Pusat Konvensyen Ideal Shah Alam, Selangor pada Selasa.
Tambah beliau, lebih memberangsangkan apabila Selangor mencatatkan 67.9 peratus penglibatan wanita dalam sektor pekerjaan, menurut Jabatan Perangkaan Malaysia (DOSM).
“Berkemungkinan pencapaian tertinggi untuk seluruh negeri di Malaysia. Alhamdulillah di Selangor kita sudah berjaya pecahkan stigma bahawa wanita tidak perlu bekerja.
“Sebahagiannya kerana tuntutan ekonomi di negeri Selangor,” ujarnya.
Jelajah Wanita MyWira dijadualkan bermula dari April hingga November 2025 meliputi 56 kawasan Dewan Undangan Negeri (DUN) di Selangor.
Antara bentuk sokongan yang disediakan dalam jelajah ini adalah platform sesi libat urus, pembangunan kemahiran dan sokongan penyertaan tenaga kerja untuk wanita di semua peringkat.
Sementara itu, Menteri KESUMA, Steven Sim Chee Keong berkata kementeriannya menyasarkan untuk memperkasa 1.4 juta wanita rakyat Malaysia yang bekerja.
“Kami menawarkan beberapa insentif seperti syarikat yang mengambil pekerja wanita akan diberikan potongan cukai.
"Seterusnya mempromosikan insentif Kerajaan MADANI yang lain, contohnya aturan kerja anjal atau flexible working hour, ia mampu menguntungkan wanita bekerja yang berkeluarga," kata Steven.
