Bekas Menteri Pertahanan, Datuk Seri Hishammuddin Hussein, menafikan dakwaan keputusannya untuk membantu membawa balik ahli perniagaan kontroversi, Low Taek Jho atau Jho Low kerana ingin lari daripada disiasat Suruhanjaya Pencegahan Rasuah Malaysia (SPRM).

Kata Hishammuddin sehingga kini beliau tidak pernah dipanggil suruhanjaya itu.

“Apa SPRM nak terhadap saya. Saya tak rasuah. Kalau ada dakwaan nak siasat sampai hari ni SPRM tak panggil saya pun,” katanya di Lobi Parlimen hari ini.

Beliau bagaimanapun menyatakan kesediaannya untuk bekerjasama dengan Ketua Polis Negara Tan Sri Fuzi Harun dalam usaha menjejaki Jho Low.



Bagaimanapun Ahli Parlimen Sembrong itu berkata buat masa ini beliau masih belum dapat pergi ke China memandangkan jadualnya yang agak sibuk sekarang.

“Belum lagi. Saya tidak ada masa sekarang.

“Tapi rakan -rakan saya di sana telah dimaklumkan bahawa saya akan ke China,” katanya kepada media di Lobi Parlimen hari ini.


Sebelum ini Hishammuddin menawarkan diri untuk mencari Jho Low yang menjadi individu penting dalam siasatan 1Malaysia Development Berhad, 1MDB dan dia dipercayai berada di China.

Katanya lagi, insiatif itu dibuat atas kapasiti peribadi dan demi mencari keadilan dalam menghuraikan skandal 1MDB.