Ooi, yang ditemani peguamnya, RSN Rayer hadir memberi keterangan susulan lima laporan polis yang difailkan berhubung kenyataannya yang disifatkan tidak sensitif dan biadap.
Ooi bagaimanapun dibebaskan kira-kira jam 6.30 petang dengan jaminan polis.
Pada Isnin, Ketua Polis Negara, Tan Sri Khalid Abu Bakar mengarahkan beliau menyerah diri dengan segera atau bakal berdepan tindakan ditahan polis sekiranya gagal berbuat demikian.
Ketua Polis Daerah Timur Laut, Asisten Komisioner Mior Farid Al-Atrash Wahid berkata, pihak polis dari Ibu Pejabat Daerah Dang Wangi merakam percakapan Ooi sebaik ahli parlimen itu tiba bersama peguamnya.
Kes disiasat di bawah seksyen 298 Kanun Keseksaan kerana mewujudkan ketidakharmonian, perpecahan atau perasaan permusuhan, kebencian dan berniat jahat yang boleh menjejaskan keharmonian atas alasan agama.