PUTRAJAYA: Isu berkaitan doktrin fahaman GISB Holdings Sdn Bhd (GISBH) akan dibincang oleh Jawatankuasa Muzakarah Majlis Kebangsaan Bagi Hal Ehwal Agama Islam Malaysia (MKI) yang bersidang dari Selasa hingga Khamis ini.

Menteri di Jabatan Perdana Menteri (Hal Ehwal Agama), Datuk Mohd Na'im Mokhtar memaklumkan perkara itu dalam hantaran yang disiarkan di laman Facebook pada Sabtu.

Beliau berkata, pihaknya menyokong penuh tindakan penguatkuasaan oleh Polis Diraja Malaysia (PDRM) yang telah menahan dan mendakwa sebilangan pemimpin serta ahli GISBH.

"Jabatan Kemajuan Islam Malaysia (JAKIM) telah memberikan kerjasama penuh bagi membantu pihak PDRM dalam proses siasatan isu GISBH.

"JAKIM telah mengadakan pertemuan bersama Jabatan Agama Islam negeri-negeri bagi menyelaras tindakan penguatkuasaan oleh pihak berkuasa agama Islam negeri-negeri," katanya.

Semalam, Jawatankuasa Fatwa Negeri Perlis memutuskan bahawa fahaman yang didukung oleh GISBH mengandungi unsur ajaran sesat khususnya dari segi batiniah dan Mufti Perlis Datuk Dr Mohd Asri Zainul Abidin berkata ia juga adalah kesinambungan Al-Arqam yang telah difatwakan sesat.

Isu itu turut mendapat reaksi daripada Mufti Terengganu, Datuk Mohamad Sabri Harun dan Mufti Kelantan, Datuk Mohamad Shukri Mohamad yang bersetuju ia perlu dibincangkan oleh Jawatankuasa Muzakarah MKI sebelum sebarang fatwa dibuat. - BERNAMA