BAGAN SERAI: Satu jawatankuasa khas akan dibentuk bagi mencari penyelesaian sekali gus menangani masalah lebih 10,000 pesawah yang terjejas akibat cuaca panas melibatkan empat negeri iaitu Perak, Kedah, Terengganu dan Kelantan.

Pengerusi Lembaga Pertubuhan Peladang (LPP), Datuk Mahfuz Omar berkata, jawatankuasa itu akan membabitkan Jabatan Pertanian Negeri, Jabatan Pengairan dan Saliran (JPS), Kawasan Pembangunan Pertanian Bersepadu (IADA) Kerian serta Institut Penyelidikan dan Kemajuan Pertanian Malaysia (MARDI).

"Segala laporan melalui jawatankuasa itu boleh diserahkan kepada Kementerian Pertanian dan Keterjaminan Makanan (KPKM) untuk tindakan lanjut bagi membantu pesawah yang terjejas.

"Sebagai contoh, di Parlimen Bagan Serai sahaja terdapat 2,162 pesawah terjejas dengan membabitkan kira-kira RM7.5 juta kerugian akibat kemarau sejak penghujung Jun lepas," katanya ketika ditemui pada sesi lawatan di Parit Haji Ali Alor Pongsu, di sini, pada Rabu.

Hadir sama Pengerusi Amanah Raya, Tan Sri Idrus Harun; Pengerusi Ahli Jemaah Pengarah Pertubuhan Peladang Negeri (PPN) Perak, Datuk Sham Mat Sahat serta Pengarah Urusan Kumpulan Amanah Raya, Ahmad Feizal Sulaiman Khan.

Pada Selasa, Pengerusi Infrastruktur, Tenaga, Air dan Pengangkutan Awam Perak, Datuk Seri Mohammad Nizar Jamaluddin berkata, cuaca panas dan kering yang melanda negara hingga September depan akan memberi kesan kepada kawasan pertanian di Perak.

Beliau dalam kenyataan sama memaklumkan, kawasan jelapang padi di daerah Kerian, Perak Tengah dan Hilir Perak yang seluas 29,241 hektar antara yang dikenal pasti terkesan akibat cuaca berkenaan.

Sementara itu, Mahfuz berkata, pihaknya akan mengadakan perbincangan dengan KPKM bagi memastikan pesawah berkenaan dapat dibantu melalui Tabung Bantuan Bencana Tanaman Padi dalam masa terdekat.

"Ini antara langkah jangka pendek yang kerajaan boleh laksanakan dan berkaitan perihal bantuan ini saya akan bawa ke pihak KPKM untuk pastikan ia membantu pesawah," katanya. - BERNAMA