Naib Presiden UMNO, Datuk Seri Hishammuddin Hussein mengingatkan pemimpin dan parti supaya tidak hanya sibuk melayan politik dan polemik, sebaliknya turut memberi fokus terhadap kedudukan ekonomi negara.

Beliau menegaskan selain menjawab isu politik, banyak perkara yang menyentuh kedudukan ekonomi negara juga perlu diberi perhatian.

Katanya, antara aspek yang perlu diberi fokus ialah kedudukan ekonomi dunia dan nilai ringgit yang jatuh ketika ini.

"Dalam kita berpolitik dan melayani isu semasa, ada banyak perkara yang menyentuh kedudukan negara yang perlu diberikan perhatian. Satu aspek yang saya lihat perlu diberikan fokus dan amat penting ialah kedudukan ekonomi negara, kedudukan nilai ringgit kita, kedudukan harga komoditi dan institusi yang perlu kita diberikan suntikan," katanya selepas merasmikan mesyuarat perwakilan UMNO Bahagian Padang Besar Beseri, Perlis.

Situasi ini, menurut Hishammuddin memerlukan kesungguhan dari pelbagai jabatan dan agensi yang terlibat supaya isu politik tidak menjejaskan aspek ekonomi yang perlu diberi perhatian.

'Beri tumpuan kepada ekonomi negara'