Yang Dipertua Negeri Tun Abdul Taib Mahmud mengumumkan jambatan baharu merentangi Sungai Sarawak di sini dinamakan sebagai Jambatan Darul Hana.

Abdul Taib membuat pengumuman itu pada Majlis Perasmian Pembukaan rasmi jambatan bernilai RM35 juta itu di Tebingan Sungai Sarawak di sini malam Sabtu.

Abdul Taib dalam ucapan perasmian berkata Darul Hana bermaksud place of peace and tranquility (suasana damai dan tenang).

"Tanpa jambatan ini kecantikan Kuching seakan tidak mencukupi, jambatan ini menghubungkan kedua-dua bahagian Kuching sebab itu idea untuk membina jambatan ini reflect we in the old day could see the beauty of Kuching," (... mencerminkan betapa kita di masa lalu dapat melihat keindahan Kuching)," katanya.

Turut hadir isterinya Toh Puan Ragad Kurdi Taib, Ketua Menteri Datuk Patinggi Abang Johari Tun Openg dan isteri Datin Patinggi Juma'ani Tun Tuanku Bujang.

Hadir sama Menteri-menteri kabinet negeri, Anggota Dewan Undangan Negeri serta ribuan pengunjung dari pelbagai lapisan masyarakat.

Sementara itu, Abang Johari dalam ucapan berkata perasmian jambatan tersebut menandakan tercapainya idea pembinaan yang diilhamkan sendiri oleh Abdul Taib.

Beliau berharap struktur jambatan yang menarik dan estetik itu akan menarik lebih ramai pelancong ke negeri ini.

Sebagai rekod projek itu dilancarkan Abdul Taib ketika berkhidmat sebagai Ketua Menteri pada Ogos 2013 bersempena Jubli Emas Sarawak bersama membentuk Malaysia.

Jambatan pejalan kaki berbentuk S (s untuk sarawak) sepanjang 335 meter menghubungkan Kuching Utara dengan Kuching Selatan bakal memberi satu lagi laluan pilihan kepada penduduk kedua-dua kawasan.

Disokong oleh dua kabel setinggi 45 meter daripada menara keluli dengan kecondongan 48 darjah merentangi Sungai Sarawak, jambatan itu bakal menjadi satu lagi tarikan tambahan kepada deretan struktur menarik di sepanjang lokasi tersebut.

-- BERNAMA