Ketika semua parti politik kini sibuk meningkatkan usaha untuk meraih sokongan dan undi menjelang pilihan raya ke-13 yang bakal diadakan tidak lama lagi, orang ramai juga dapat merasai sendiri pengalaman jadi ahli politik yang menghadapi pilihan raya.
Mereka berpeluang mengatur strategi — bersih atau yang dilihat kotor; gaya politik lama atau baru — untuk mendapatkan sokongan daripada pengundi.
Semua itu boleh mereka lakukan melalui sebuah permainan kad atau daun terup yang diberi nama Politiko.
"Ia satu permainan yang menarik dan mencerminkan keadaan politik di Malaysia misalnya parti-parti politik yang mempunyai nilai dan prinsip yang berbeza," kata Ketua Pegawai Eksekutif Loyar Burok, Lim Ka Ea.
Politiko direkacipta oleh pelukis Mun Kao dan dikeluarkan oleh Loyar Barang, kedai runcit dalam talian bagi Pusat Perlembagaan dan Hak Asasi Manusia Malaysia atau Loyar Burok.
"Ini bukan idea saya seorang tetapi hasil maklum balas daripada kawan-kawan yang menguji daun terup ini," kata Mun Kao yang mengambil masa lebih setahun untuk menyiapkan permainan itu.
Permainan daun terup itu direkacipta dengan inspirasi daripada parti-parti politik yang ada di negara ini serta beberapa isu dan pendekatan yang digunakan oleh parti-parti berkenaan dalam berpolitik.
Ia boleh dimainkan oleh tiga hingga enam pemain dan sesuai untuk mereka yang berumur lebih 14 tahun.
Sebuah pek Politiko mengandungi 130 keping kad yang terbahagi kepada tiga kategori iaitu parti politik, skim atau taktik dan pengundi.
Sepuluh parti politik itu pula dipadankan dengan parti-parti politik yang ada di negara ini dan hanya serasi dengan pengundi tertentu.
Sebagai contoh, Parti Nasionalis Melayu yang dilihat dipadankan daripada UMNO serasi dengan pengundi Melayu dan tidak serasi dengan Parti Keadilan Sosial yang dipadankan daripada Parti Keadilan Rakyat (PKR).
Pemenangnya ialah mana-mana pemain yang berjaya jadi pemain pertama yang mengumpulkan lapan kad pengundi.
Untuk mengumpulkan kad pengundi, pemain akan menggunakan kad "Skim" seperti kemudahan kepada rakyat termasuk air percuma, subsidi untuk sekolah, mengumumkan dasar parti, mendedahkan skandal serta lompat parti.
Pemain juga boleh membentuk pakatan politik dengan cara bermain secara berpasangan atau kumpulan.
"Ia satu permainan yang menyeronokkan. Saya dapat rasa apa yang difikirkan oleh ahli politik untuk mendapatkan undi dan menang pilihan raya," kata Kelly Koh, seorang pelajar yang ditemui selepas bermain Politiko.
Politiko juga mendapat reaksi yang positif yang lain seperti yang terlihat daripada beberapa komen di Twitter sejak pelancarannya pada Sabtu lalu.
Politiko dipercayai merupakan permainan kedua yang ada kaitan dengan pilihan raya yang ada dalam pasaran sekarang.
Awal bulan ini, aplikasi permainan yang diberi nama Conquest of Putrajaya diperkenalkan untuk pengguna Android dan Facebook, dan tidak lama lagi kepada pengguna iOS.
Dalam masa dua minggu, ia telah dimuat turun lebih 30,000 kali dan menduduki senarai 50 aplikasi popular di Google Play Store.
Conquest of Putrajaya yang ditawarkan secara percuma menampilkan pemimpin Barisan Nasional dan Pakatan Rakyat dalam versi kartun 'berperang' untuk mempertahan atau merebut Putrajaya.
Pemain boleh memilih untuk memainkan permainan itu di negeri seperti Pulau Pinang, Selangor, Johor dan Sarawak sebelum bertanding di peringkat akhir iaitu Putrajaya.
Antara watak pemimpin BN yang dipaparkan ialah Perdana Menteri, Datuk Seri Najib Tun Razak; Presiden MCA, Datuk Seri Dr Chua Soi Lek; Presiden MIC, Datuk Seri G. Palanivel dan Ketua Menteri Sarawak, Tan Sri Abdul Taib Mahmud.
Pemimpin Pakatan Rakyat pula ialah Ketua Pembangkang, Datuk Seri Anwar Ibrahim; Presiden PAS, Datuk Seri Abdul Hadi Awang; Setiausaha Agung DAP, Lim Guan Eng dan Penasihat DAP, Lim Kit Siang.
Ketika suasana politik negara semakin hangat, dua permainan ini setidak-tidaknya meringankan tekanan kita semua menjelang pilihan raya yang akan diadakan tidak lama lagi.
_________________________________
* Politiko dilancarkan sempena Art for Grabs yang berlangsung di Pasar Seni hujung minggu lalu. Ia boleh diperolehi dengan harga RM29 di loyarbarang (dot) (com)
Astro Awani
Tue Mar 19 2013
ASEAN akan perkenal Visi Komuniti ASEAN 2045 di Malaysia tahun hadapan
Wawasan itu akan menggariskan hala tuju pembangunan bagi rantau ini untuk dua dekad akan datang.
Aplikasi TikTok jadi 'medan' promosi skim pelaburan palsu - Polis
Sejak 2021 hingga Oktober lepas, kes penipuan pelaburan melalui TikTok mencatatkan kenaikan lebih 90 peratus.
Krisis kemanusiaan semakin meruncing, ribut musim sejuk landa Gaza - UNRWA
Penduduk yang kehilangan tempat tinggal kini berdepan keadaan yang teruk ketika hujan lebat, angin kencang dan ombak besar.
Kerjasama ASEAN-APEC mesti adil, bukan negara besar paksa negara kecil - PM Anwar
Kerjasama antara negara melalui platform ASEAN, APEC atau lain-lain mesti bersifat adil untuk menangani isu-isu kepentingan bersama.
Fasa akhir pembinaan kapal LCS pertama siap akhir tahun ini
Fasa akhir pembinaan kapal tempur pesisir (LCS) pertama akan disiapkan pada penghujung tahun ini, menurut Kementerian Pertahanan.
Pekerja bank ditipu, jadi 'orang suruhan' sindiket penipuan telefon
Seorang mangsa sindiket membuat laporan polis pada 28 Oktober lalu kerana ditipu hingga kerugian RM138,000.
Kajian New Zealand menunjukkan kesan buruk internet terhadap kanak-kanak 8 tahun
Kanak-kanak yang mengalami masalah tingkah laku atau memiliki lebih banyak peranti peribadi berisiko lebih tinggi terdedah kepada bahaya dalam talian.
Rasuah: Mahkamah Rayuan kekalkan hukuman penjara 30 bulan bekas polis
Bekas inspektor polis berusia 42 tahun itu akan memulakan hukuman penjara hari ini.
IPTA, IPTS diminta pastikan pelajar tidak laksana aktiviti luar ketika MTL
Langkah berjaga-jaga perlu diambil bagi mengelak sebarang kejadian tidak diingini berlaku membabitkan pelajar.
Festival Idea Putrajaya sasar 25,000 pengunjung, tawar peluang pekerjaan
Karnival Kerjaya MADANI yang diadakan sempena festival itu turut tawarkan 10,000 peluang pekerjaan kepada pencari kerja daripada pelbagai peringkat.
Jalan lain ke Putrajaya
Belajar cara meraih undi dengan gaya politik lama atau politik baru untuk menang pilihan raya dengan bermain daun terup, Politiko.