Menurut gambar dikongsikan dalam media sosial Orang Kota Tinggi, kebanyakan lokasi di bandar itu juga dilaporkan mula kering dan air banjir mula surut.
Bagaimanapun, masih ada beberapa lokasi yang masih digenangi air namun jumlah yang dilaporkan tidak banyak.
Jurucakap Jabatan Bomba dan Penyelamat (JBPM) Kota Tinggi juga memaklumkan keadaan banjir kini memasuki fasa pasca banjir.
"Terima kasih saya ucapkan kepada semua rakan-rakan media yang telah membuat liputan dengan amat baik tentang bencana banjir di daerah Kota Tinggi.
"Kini keadaan banjir di Kota Tinggi menunjukkan petanda positif yang mana air banjir beransur-ansur surut dan cuaca cerah.
"Kini beberapa kawasan telah memasuki fasa pasca banjir dimana mereka telah membersihkan kedai dan rumah masing-masing," katanya menerusi pesanan WhatsApp kepada media.
Tambahnya, tugas anggota Bomba selepas ini adalah membuat rondaan dan pemantauan secara berkala.
Kawasan Kota Tinggi dan sekitarnya mula dinaiki air pada 7 Januari lepas dan empat hari selepasnya, banjir sudah mula surut.
Susulan banjir, pusat bandar Kota Tinggi lumpuh dengan perniagaan tidak beroperasi sepanjang lima hari susulan dilanda musibah banjir.