KOTA TINGGI: Dua maut dalam kemalangan membabitkan empat kenderaan di Kilometer 61.5, Jalan Johor Bahru-Mersing di sini, pagi semalam.

Pemangku Ketua Polis Daerah Kota Tinggi DSP Mohd Syamsuri Mohamad berkata seorang wanita berusia 51 tahun yang juga penumpang belakang kenderaan pelbagai guna (MPV) Mitsubishi Xpander dan penunggang motosikal Yamaha 135LC lelaki berusia 21 tahun meninggal dunia di lokasi kejadian akibat cedera parah pada bahagian kepala.

Beliau berkata pihaknya menerima maklumat berhubung kejadian melibatkan dua kenderaan berkenaan serta kereta Perodua Viva dan lori Isuzu, kira-kira 11.40 pagi.

"Siasatan awal mendapati kemalangan berlaku apabila MPV Xpander dari arah Johor Bahru ke Mersing dipercayai cuba memotong di garisan putus-putus, manakala kereta Viva dari arah bertentangan pula cuba mengelak ke sebelah kanan lalu terbabas ke bahu jalan, sebelum melanggar batu penanda jalan," katanya dalam kenyataan semalam.

Beliau berkata MPV yang hilang kawalan itu kemudiannya telah melanggar motosikal sebelum penunggang dan penumpang belakang Xpander tercampak ke bahu jalan.

"Satu objek iaitu 'jack' besi turut tercampak keluar dan terkena cermin hadapan lori sebelum mengenai dada pemandu," katanya.

Beliau berkata mayat mangsa dihantar ke unit forensik Hospital Kota Tinggi manakala ketiga-tiga pemandu lain mengalami cedera ringan dan dirawat di hospital sama.

Kes disiasat di bawah Seksyen 41(1) Akta Pengangkutan Jalan 1987.

-- BERNAMA