KUALA LUMPUR: Jabatan Kemajuan Orang Asli (JAKOA) akan terus memberikan sokongan dan khidmat bantuan kepada keluarga Allahyarham Nuraina Humaira Rosli, 10, yang ditemui mati Sabtu lalu di Kampung Bersah, Pos Kuala Mu di Sungai Siput, Perak.


Ringkasan AI
  • JAKOA akan terus memberikan sokongan dan khidmat bantuan kepada keluarga Allahyarham Nuraina Humaira Rosli, 10,
  • Setakat ini, bantuan daripada sudut kaunseling juga sudah diberikan kepada keluarga mangsa.
  • JAKOA juga akan terus memberikan bantuan sokongan dalam aspek kewangan dan akan merujuk kes ini kepada Kementerian Pembangunan Wanita, Keluarga dan Masyarakat.


Timbalan Menteri Kemajuan Desa dan Wilayah, Datuk Rubiah Wang berkata, setakat ini, bantuan kaunseling juga sudah diberikan kepada keluarga mangsa.

‘’Di pihak JAKOA, kita telah mengambil tindakan segera bagi membantu keluarga berkenaan maksudnya dari sudut ekonomi dan sebagainya. JAKOA juga dah bantu dan pada masa ini pun JAKOA sedang merujuk perkara ini dengan Jabatan Kebajikan Masyarakat (JKM) sebab ia melibatkan anak dari golongan Orang Kurang Upaya (OKU).

‘’Apa yang kita dapat lihat keluarga ini agak trauma dan memerlukan khidmat kaunseling di mana masa ini telah diberi oleh JAKOA dan Kementerian Pembangunan Wanita, Keluarga dan Masyarakat serta kita masih meneruskan usaha untuk bantu keluarga berkenaan.

‘’Kita juga akan cuba melihat apa ruang yang ada untuk kita bantu dari sudut kebajikan dan juga mental sebab kita lihat memang ada kes trauma dalam keluarga berkenaan bila mendapati anak mereka menerima nasib seperti itu,’’ katanya.

Rubiah berkata demikian selepas merasmikan Anugerah Murid Cemerlang (AMC) JAKOA, Sijil Pelajaran Malaysia (SPM) dan Sijil Tinggi Pelajaran Malaysia (STPM) di Bangi, Selangor pada Selasa.

Pada Sabtu, seorang kanak-kanak perempuan yang dilaporkan hilang ditemui mati di kawasan berpaya di perkampungan Orang Asli Kampung Bersah, Pos Kuala Mu.

Mayat Nuraina yang juga merupakan murid tahun empat Sekolah Kebangsaan (SK) Pos Kuala Mu itu ditemukan sekitar jam 4.20 petang hasil operasi mencari yang digerakkan selepas mangsa dilaporkan tidak pulang ke rumah sejak Jumaat.

Ketua Polis Daerah Sungai Siput, Superintendan Mohd Khaizam Ahmad Shahabudin berkata, mangsa dijumpai dalam keadaan terbaring di kawasan berpaya berhampiran perkampungan itu dengan jarak antara 50 hingga 100 meter dari rumah terakhir di perkampungan terbabit.

Polis pada masa sama tidak menolak kemungkinan bahawa mangsa telah dirogol terlebih dahulu sbeelum dibunuh.

Susulan itu, Mahkamah Majistret Sungai Siput pada Isnin memerintahkan remaja berusia 17 tahun direman tujuh hari bagi membantu siasatan kes tersebut.

Perintah reman sehingga 25 Ogos itu dikeluarkan Majistret Nurul Asyifa Redzuan selepas permohonan pihak polis.