GEORGE TOWN: Ketua Menteri Pulau Pinang Chow Kon Yeow sedia memberikan lanjutan cuti kepada Timbalan Ketua Menteri II Jagdeep Singh Deo yang ketika ini dalam fasa pemulihan dan sedang dalam perhatian doktor.

Chow berkata pihaknya sedia membincangkan lanjutan cuti Jagdeep yang bercuti sejak 22 Julai lepas hingga 5 Ogos ini bagi membolehkan Jagdeep menjalani rawatan sehingga benar-benar sembuh.

"Saya menerima makluman dari semasa ke semasa daripada ahli keluarga Jagdeep, beliau dalam fasa pemulihan dan terus menerima perhatian doktor-doktor, manakala mengenai cuti yang akan berakhir selepas 5 Ogos nanti, saya akan bertemu dengan ahli keluarganya esok.

"Saya pun ada laporkan (situasi Jagdeep) kepada Exco yang bermesyuarat semalam, sekiranya lanjutan cuti diperlukan dan saya harap surat lanjutan permohonan cuti dapat diterima supaya kita boleh beri kelulusan kepadanya sehingga satu tempoh yang dirasakan dia boleh melaksanakan kerja-kerja," katanya pada sidang media di pejabatnya di bangunan Komtar di sini hari ini.

Pada 22 Julai lepas, Bernama melaporkan Jagdeep mengesahkan beliau kini sedang bercuti kerana menjalani rawatan buku lali dan menafikan dakwaan kononnya beliau diarahkan bercuti daripada menjalankan tugas pentadbiran negeri.

Jagdeep, 53, yang juga Ahli Dewan Undangan Negeri (ADUN) Datuk Keramat, telah dilantik sebagai Timbalan Ketua Menteri II Pulau Pinang sejak Ogos tahun lepas.



-- BERNAMA