Dewan Pemuda PAS Malaysia (DPPM) menyifatkan tindakan penganut Buddha menggunakan surau untuk tujuan keagamaan mereka disebabkan oleh kegagalan kerajaan khususnya Jawatankuasa Mempromosikan Persefahaman dan Keharmonian Di Antara Penganut Agama (JKMPKA).

Naib Ketuanya, Dr Raja Ahmad Iskandar Al-Hiss berkata jawatankuasa ini sepatutnya bergerak semenjak tiga tahun penubuhannya secara aktif dan agresif bagi mendekati masyarakat dan penganut setiap agama agar menghormati nilai, amalan dan budaya hidup beragama masing-masing.

"Namun demikian, dengan berlakunya kes seumpama ini di Johor, ia menunjukkan bahawa masih ada masyarakat yang keliru dalam mengamalkan kebebasan beragama.

"DPPM mempersoalkan apakah langkah yang telah diambil oleh Jawatankuasa tersebut dalam memastikan kesejahteraan dan keharmonian agama diperkukuhkan dalam negara ini walaupun difahamkan JKMPKA ini telah menubuhkan 4 jawatankuasa bertindak terdiri daripada Jawatankuasa Kerja Persefahaman terhadap isu-isu Antara Penganut Agama, Aktiviti, Mediasi dan Acara Bersama Kerajaan dan Pemimpin Masyarakat .

"Nampaknya sehingga kini masih belum ada tanda-tanda tindakan dibuat bagi memastikan kefahaman dan persefahaman dibentuk antara penganut agama," katanya dalam satu kenyataan media hari ini.

Katanya, apa perbuatan menghina agama terutama agama Islam semakin menjadi-jadi kebelakangan ini sehingga segelintir masyarakat meluahkan kebencian dan kemarahan mereka terhadap agama Islam melalui lama sosial dan secara terbuka.

Dr Raja Ahmad berkata gejala ini semakin menular sehingga dibendung apabila ada sahaja iau yang sengaja dibangkitkan demi memperlekeh ajaran islam dan menaikkan kemarahan umat Islam.

"DPPM merasakan kegagalan jawatankuasa ini berpunca dari kegagalan kepimpinan negara dalam menterjemahkan persefahaman ini.

"Ada isu terutama yang berkaitan dengan agama sengaja dipolemikkan menjadi isu politik sehingga ramai pihak menjadi keliru dalam memahaminya.

"Ada pula beberapa NGO yang begitu agresif menyerang sesuatu isu terutama berkaitan isu agama sehingga menimbulkan ketakutan penganut agama lain serta menimbulkan prejudis terhadap agama Islam," katanya lagi.

Tegas beliau, DPPM meminta agar Jawatankuasa yang dibentuk segera memberi kefahaman dan penerangan yang sebenar bagi memastikan keharmonian antara agama dapat dibentuk.

Katanya, kerajaan wajar menganganinya secara serius sebelum berlaku ketegangan agama dan perbalahan kaum di negara ini.