Bertemakan ASEAN: Enhancing Connectivity and Resilience, pastinya isu-isu yang melatari blok ini akan menjadi fokus utama kesemua pemimpin yang hadir.
Ketika ini, antara yang menjadi fokus semestinya isu kemanusiaan yang mencengkam melibatkan umat Islam termasuk etnik Rohingya di Myanmar.
Memetik Menteri Luar, Datuk Seri Mohamad Hasan, semasa menghadiri Mesyuarat Menteri-Menteri Luar ASEAN ke-57 (AMM) di Vientiane pada Julai menegaskan, isu pelarian Rohingya bukanlah isu melibatkan negara Myanmar semata-mata, malah ia merupakan satu isu dominan untuk ASEAN.
Ini kerana ujarnya, susulan konflik yang berlaku di negara itu, warga Rohingya terpaksa melarikan diri dan mencari lokasi lain untuk meneruskan kehidupan termasuk di Malaysia.
Selain itu, Malaysia baru-baru ini juga menyeru ASEAN dan Pertubuhan Kerjasama Islam (OIC) memainkan peranan yang lebih tegas dalam menangani isu kemanusiaan ini.
Perkara ini dikongsikan Mohamad selepas mengadakan pertemuan bersama wakil negara OIC menerusi Meeting of the OIC Contact Group on Rohingya Muslims of Myanmar di luar sidang Mesyuarat Agung Pertubuhan Bangsa-Bangsa Bersatu (UNGA) kali ke-79, baru-baru ini di New York, Amerika Syarikat.
Tambahnya, bantuan dan sokongan negara-negara besar dan blok-blok yang berpengaruh termasuk Pertubuhan Bangsa-Bangsa Bersatu (PBB) dan OIC dialu-alukan kerana isu di Myanmar merupakan satu isu yang signifikan dan perlu ditangani secara bersama.
Penting juga diamati dalam Sidang Kemuncak ASEAN kali ini, bagaimana Konsensus Lima Perkara (5PC) akan terus kekal sebagai titik rujukan dalam mencari penyelesaian bagi krisis di Myanmar.
Ia merangkumi menamatkan keganasan dan mengadakan dialog yang membina di kalangan semua pihak berkepentingan.
Selain itu, tiga perkara lain termasuk, ASEAN memberikan bantuan kepada Myanmar, duta khas ASEAN yang dilantik untuk menjalankan perbincangan dan utusan dibenarkan melawat negara itu.
Pada masa sama, isu utama lain yang dijangka menjadi fokus Sidang Kemuncak ini adalah melibatkan peranan ASEAN dalam menguruskan ketegangan melibatkan pertikaian di Laut China Selatan.
Ini melihat kepada peningkatan ketegangan yang berlaku melibatkan China dan Filipina di kawasan yang dipertikaikan kedua-dua pihak.
Walaupun pada Julai, Beijing dan Manila mencapai perjanjian bagi menamatkan konfrontasi di kawasan beting yang menjadi pertikaian di Laut China Selatan, namun, peristiwa pelanggaran kapal pengawal pantai milik kedua-dua negara sekali lagi menjadi perhatian pada Ogos lalu.
Dalam kejadian tersebut, kedua-dua negara bertindak menyalahkan antara satu sama lain dalam insiden pelanggaranmelibatkan kapal China nombor 5205 dan BRP Teresa Magnabua (Filipina) di kawasan yang dipertikaikan itu.
Untuk itu, formula berkesan perlu digerakkan dalam memastikan semua negara mematuhi Konvensyen PBB mengenai Undang-Undang Laut (UNCLOS) 1982 dalam tadbir urus maritim dan menekankan diplomasi dan dialog sebagai alternatif utama dalam mengelakkan peningkatan konflik.
Apa pun, isu-isu utama yang mendominasi rantau Asia Tenggara ini merupakan satu cabaran buat Malaysia yang akan menggalas kepengerusian ASEAN pada tahun hadapan.
Bagaimanapun, Perdana Menteri hari ini berkata Malaysia sudah bersedia untuk mengambil alih tugas sebagai Pengerusi ASEAN 2025.
Menurut Datuk Seri Anwar Ibrahim, Malaysia bersedia untuk memimpin dengan visi perpaduan, keterangkuman dan kerjasama.
Beliau yang dijadualkan tiba di Laos pada 8 Oktober ini dijangka akan mempunyai jadual yang padat sepanjang berlangsungnya Sidang Kemuncak ini.
Lebih 2,000 perwakilan dan sekitar 1,000 media antarabangsa juga dijangka hadir ke Sidang Kemuncak ASEAN ke-44 dan ke-45 serta sidang-sidang berkaitan, yang dijadualkan berlangsung dari 8 hingga 11 Oktober ini.
Semua mesyuarat dijadualkan akan berlangsung di Pusat Konvensyen Nasional (NCC) dan akan dihadiri oleh ketua-ketua negara dan kerajaan dari negara anggota ASEAN, negara rakan dialog, dan negara rakan luar, serta wakil dari organisasi serantau dan antarabangsa.