Menteri Luar, Datuk Seri Mohamad Hasan, berkata negara bersempadan dengan Myanmar kini terpaksa mendepani masalah dibawa negara itu yang ketika ini menjadi negara utama dalam kegiatan jenayah seperti pemprosesan dadah, penipuan kerja dan perjudian dalam talian.
‘’Isu dalaman Myanmar ini sudah menjadi (masalah) rentas sempadan. Negara bersempadan dengan Myanmar berdepan masalah akibat isu dalaman mereka.
‘’Jadi, kita mahu supaya isu Myanmar ini dapat ditangani secara bersama oleh anggota ASEAN, yang mana asasnya bertunjangkan kepada Konsensus Lima Perkara (5PC).
‘’Kita mengguna pakai Mekanisme Troika (merujuk tiga negara yang menjadi tuan rumah ASEAN) pada tahun lalu (Indonesia), tahun ini (Laos) dan tahun depan (Malaysia) yang menjadi badan utama dimandatkan ASEAN untuk berunding dengan Myanmar.
‘’Jadi, kita menggesa supaya Myanmar segera menerima pandangan kita. Mereka tidak boleh kata tidak menerima 5PC kerana ketua negara mereka juga adalah penandatangan pada 2021,’’ katanya.
Mohamad berkata demikian semasa ditemui delegasi media Malaysia selepas menghadiri mesyuarat Mesyuarat Menteri-Menteri Luar Negeri ASEAN, di sini, pada Selasa.
Terdahulu, Malaysia menerusi Mohamad menyeru ASEAN dan Pertubuhan Kerjasama Islam (OIC) memainkan peranan yang lebih tegas dalam menangani isu kemanusiaan yang mencengkam melibatkan umat Islam termasuk etnik Rohingya di Myanmar.
Mohamad berkata demikian ketika diminta mengulas berkenaan pertemuannya bersama wakil negara OIC menerusi Meeting of the OIC Contact Group on Rohingya Muslims of Myanmar di luar sidang Mesyuarat Agung Pertubuhan Bangsa-Bangsa Bersatu (UNGA) kali ke-79 di New York, Amerika Syarikat, pada September.