Pimpinan dan ahli-ahli PAS Selangor akan sentiasa mematuhi apa sahaja arahan dari PAS Pusat berikutan pemecatan Menteri besar Selangor, Tan Sri Abdul Khalid Ibrahim dari PKR.

Pesuruhjaya PAS Selangor, Iskandar A. Samad dalam satu kenyataan berkata, exco PAS akan menjalankan tugas seperti biasa sementara menunggu PAS Pusat bermesyuarat pada 17 Ogos untuk menetapkan pendirian PAS tentang kedudukan Abdul Khalid.

"Setiausaha Agung PAS telah mengarahkan exco PAS agar terus berkhidmat di dalam Kerajaan Negeri pimpinan Abdul Khalid. Oleh yang demikian exco PAS akan menjalankan tugas mereka seperti biasa.

"Khidmat kepada rakyat tidak seharusnya terhenti akibat dari perkembangan politik ini. Mereka berhak untuk mendapat pembelaan yang berterusan," katanya.

Tambah Iskandar, arahan itu juga selari dengan perkenaan Sultan Selangor, Sultan Sharafuddin Idris Shah agar Abdul Khalid meneruskan tugas sebagai menteri besar.

"Saya yakin pimpinan dan ahli-ahli PAS akan sentiasa bertindak menurut keputusan-keputusan peringkat tertinggi parti malah Ahli Dewan Undangan Negeri (ADUN) telah mengangkat sumpah sebelum hari penamaan calon pilihanraya umum yang lepas supaya sentiasa mematuhi arahan parti," ujarnya.

Jelasnya, PAS Selangor turut berharap kemelut itu dapat diatasi secepat mungkin dan Pakatan Rakyat terus kukuh di Selangor.