SUBANG JAYA:Kerajaan digesa untuk menarik balik penjualan daging daripada syarikat tempatan yang disyaki terlibat dalam isu kartel daging haram.

Presiden Persatuan Peruncit Bumiputera (BRO), Datuk Dr Ameer Ali Mydin berkata, perkara itu antara langkah terbaik dalam masa terdekat bagi memastikan tiada daging haram dijual dalam pasaran negara.

Tegasnya, perkara itu tidak boleh diambil mudah kerana tindakan sedemikian menyentuh sensitiviti Islam.

“Kerajaan sudah kenal pasti syarikat yang mengambil barang (kartel daging haram) itu dan minta untuk hubungi siapa (peruncit) yang beli (daripada kartel) supaya jangan jual dan ambil balik barang itu.

“Ini sahaja cara yang lebih berkesan saya nampak dalam tempoh terdekat iaitu elak jual daging yang diragui statusnya,” katanya ketika ditemui di sini pada Isnin.


BACA: Pembekal dakwa wujud dalang seludup wagyu dalam kontena daging babi


Sebelum ini, akhbar Sinar Harian membongkar sindiket penyeludupan daging sejuk beku dari China, Ukraine, Brazil dan Argentina sebelum membungkus semula daging tersebut dengan logo halal.

Menurut laporan akhbar itu, taktik jahat kartel tersebut dibongkarkan dalam serbuan bersepadu pihak berkuasa di sebuah gudang di Senai, Johor.

Dalam pada itu, Ameer Ali yang juga Pengarah Urusan Mydin Mohamed Holdings Berhad (Mydin), menzahirkan rasa dukacita dengan isu yang timbul selain menyifatkan gagal diselesaikan meskipun telah dikesan sejak setahun lalu.

“Saya amat sedih... Macam mana ia boleh berlaku sebab cerita ini bukan cerita semalam. Tetapi (saya tahu) sejak setahun lalu tetapi masih belum kenal pasti (daging haram),” katanya.


Sementara itu, beliau menjangkakan harga ayam dan ikan akan naik jika isu kartel daging haram gagal diselesaikan dalam tempoh tertentu.

“Hari ini harga ayam sudah naik dan jika permintaan tinggi terhadap ayam, saya percaya akan berlaku kenaikan harga memandangkan sumber yang terhad.

“Sama juga dengan ikan, turut akan berlaku kenaikan harga kerana permintaan terhadap daging sudah mula berkurangan disebabkan isu tersebut,” ujar beliau lagi.